200,000 Vaksin CanSino Untuk Kecemasan Tiba Hari Ini
Jika sebelum ini kita hanya mendengar tentang vaksin Pfizer, Astazaneca dan juga Sinovac, hari ini buat pertama kalinya dos tunggal CanSino di bawa masuk ke Malaysia.
Sebanyak 200,000 dos CanSino berbentuk ‘finished product” difahamkan tiba di Malaysia menerusi penerbangan MAS Kargo dengan pesawat MH361 dari Beijing, China.
Pesawat yang membawa vaksin CanSino itu tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 7.50 pagi tadi.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu Datuk Dr Mohd Shafiq Abdullah dan Ketua Setiausaha Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir turut hadir bagi menyambut ketibaan vaksin tersebut.
Vaksin yang diterima ini adalah sebahagian daripada 3.5 juta dos vaksin CanSino yang ditempah oleh negara dimana ia akan dihantar secara berperingkat.
Datuk Dr Siti Hamisah berkata, bekalan ini akan dapat memperhebatkan lagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) terutamanya di kawasan rendah akses.
Tambah beliau, ia juga turut membantu negara mencapai sasaran imuniti kelompok seperti yang disasarkan dalam Pelan Pemulihan Negara mengikut garis masa yang telah ditetapkan.
Menurut laporan Kosmo, vaksin CanSino ini bagaimanapun mendapat kelulusan penggunaan bersyarat untuk kegunaan kecemasan yang berlaku di Malaysia oleh Pihak Berkuasa Bekalan Dadah (PKBD) pada Jun lalu.