Carmen Cai Yi, Anak Perempuan Imigran Malaysia Maut Dipercayai Ditembak – Manis Madu
Carmen Cai Yi, Anak Perempuan Imigran Malaysia Maut Dipercayai Ditembak

Carmen Cai Yi, Anak Perempuan Imigran Malaysia Maut Dipercayai Ditembak

Seorang anak perempuan kepada imigran Malaysia, Carmen Cai Yi Lee, ditembak dan terbunuh di sebuah bandar kecil di pinggir kota raya Atlanta, negeri Georgia, Amerika Syarikat, seminggu sebelum menyambut  hari jadinya, lapor portal berita Mothership.

 

Carmen, 25, ditembak semasa memandu pulang daripada menghadiri parti barbeku rakannya.

 

Menurut polis Doraville, seorang anggotanya menemui kereta Carmen di tepi jalan sekitar pukul 9.30 malam pada 29 Mei lalu. Apabila anggota polis memeriksa kenderaannya, mereka menemui Carmen dalam keadaan tidak sedarkan diri di kerusi pemandu.

 

Anggota polis kemudian mula memberikan bantuan kecemasan dan dalam proses tersebut, mereka mendapati Carmen mengalami luka akibat terkena tembakan.

 

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

 

Menurut akhbar tempatan, The Atlanta Journal-Constitution (AJC), terdapat sekurang-kurangnya 30 kejadian tembakan pada tahun ini  di jalan-jalan di Atlanta dan daerah sekitarnya.

 

Seramai 10 orang termasuk Carmen meninggal dunia akibat ditembak ketika memandu kereta.

 

AJC melaporkan bahawa pasukan penyiasat berkata, banyak kes tersebut berpunca daripada kemarahan ketika di jalan raya, manakala majoriti kes tembakan jalanan itu masih tidak dapat diselesaikan.

 

Pihak polis merayu kepada sesiapa yang mempunyai maklumat kes tersebut supaya tampil membantu siasatan.

 

Dalam perkembangan berkaitan, teman lelaki Carmen memberitahu bahawa mangsa takut mendengar berita mengenai jenayah dan keganasan senjata di kota raya Atlanta dan mula membawa penyembur lada.

 

Saluran berita Atlanta, CBS46 melaporkan, polis memberitahu keluarga Carmen bahawa kematian mangsa adalah kerana dia berada di lokasi salah dan pada masa yang salah.

 

Ibu bapa Carmen berhijrah dari Malaysia ke Amerika Syarikat sebelum dia dilahirkan, kata teman lelakinya kepada AJC. Mangsa merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik.

 

Sumber Gambar: The Atlanta Journal-Constitution (AJC)

Post a Comment