Cikgu Komathy Rangkul 'The Global Teacher Award' – Manis Madu
Cikgu Komathy Rangkul The Global Teacher Award

Cikgu Komathy Rangkul ‘The Global Teacher Award’

Seorang Guru Cemerlang Kimia dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ave Maria Convent Ipoh meraih anugerah antarabangsa The Global Teacher Award 2021, lapor BERNAMA.

V. Komathy, 38, yang sudah 14 tahun berkhidmat, menerima pengiktirafan itu pada majlis yang dianjurkan secara maya menerusi laman Facebook dan saluran Youtube rasmi AKS Education Awards pada hari ini.

 

Ibu kepada tiga anak itu berkata beliau terkejut apabila menerima pemakluman daripada pihak penganjur mengenai kemenangan itu menerusi emel pada 29 September lepas.

 

“Saya masih tidak boleh percaya dipilih sebagai pemenang daripada 321 calon dari Malaysia dan kira-kira 26,000 penyertaan dari negara-negara lain.

 

“Daripada jumlah itu, 500 orang telah disenarai pendek termasuk enam calon rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini.

 

Komathy merupakan lulusan Sarjana Pendidikan Kimia daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kini sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat ijazah kedoktoran dalam Pendidikan Kimia di universiti sama.

 

Beliau telah menghasilkan beberapa produk inovasi untuk mencungkil minat pelajar dalam subjek kimia hingga dikenali di peringkat antarabangsa.

 

Antara produk inovasi berkenaan ialah Chem-Ester Kit: Chem-Ester Kit 2.0 iaitu produk pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPC) Kimia berupa modul bimbingan berbentuk kad permainan dan direka bentuk bagi meningkatkan tahap penguasaan pelajar terhadap penulisan formula molekul, struktur, penamaan bagi sebatian alkana, alkena, alkuna, alkohol, asid karboksilik serta ester.

 

Beliau turut mencipta satu produk aplikasi ilmu Kimia dalam penyelesaian masalah iaitu Biomass Activated Carbon (BAC) for Toxic Dyes Removal: Towards a Sustainable Environment yang bertujuan mengembangkan karbon aktif biomas daripada tiga sisa pertanian, iaitu serabut tebu, sekam kelapa dan kulit pisang untuk menghilangkan pewarna beracun daripada air yang tercemar.

 

“Kimia memang subjek kurang digemari kerana penuh formula dan banyak melibatkan pengiraan, oleh sebab itu perlu mendidik dengan cara menghiburkan untuk menarik minat pelajar supaya tidak mudah putus asa untuk mempelajari subjek ini,” katanya.

 

Menurutnya anugerah-anugerah yang diterimanya sebelum ini dan The Global Teacher Award 2021 pada hari ini, akan dijadikan sebagai motivasi untuk mendidik dan melahirkan anak bangsa yang lebih maju.

 

Katanya beliau juga akan terus mengorak langkah dalam usaha mencipta pelbagai pembaharuan menerusi subjek Kimia.

 

Komathy memulakan kerjaya sebagai guru di SMK Methodist Girls School Ipoh pada 2007 selama enam tahun sebelum bertukar ke SMK Buntong dan dipindahkan ke SMK Ave Maria Convent Ipoh pada Febuari lepas.

 

Beliau telah menghasilkan beberapa karya ilmiah dan pernah membawa pelajar SMK Buntong mewakili negara ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa dalam pelbagai acara akademik.

 

Menurut Komathy, anak muridnya menjadi inspirasi kepada beliau untuk berusaha ke arah kecemerlangan bagi memenuhi keperluan pembelajaran mereka.

Sumber Gambar: astroawani.com

Post a Comment