Disifatkan Pengotor, ‘Backpackers’ Tidak Lagi Dibenarkan Melancong Ke Bali?
Pulau peranginan popular Indonesia, Bali dilaporkan enggan menerima pelancong beg galas atau ‘backpackers’ ke lokasi pelancongan itu sekiranya dibuka dalam masa terdekat, lapor portal Coconuts, baru-baru ini.
View this post on Instagram
Menurut Menteri Penyelaras Maritim dan Pelaburan, Luhut Pandjaitan berkata, pihaknya hanya akan menerima pelancong yang tahu menjaga kebersihan pulau tersebut.
“Kami sudah melakukan persediaan rapi bagi menerima pelancong meskipun Bali masih berada di Tahap Empat Perintah Perbatasan Kegiatan Masyarakat (PPKM) dan belum menerima tarikh pembukaan semula.
“Mungkin Bali akan dibuka apabila PPKM dilonggarkan ke Tahap Dua,” kata Luhut.
Bagaimanapun, Luhut berkata, proses penerimaan pelancong ke Bali sebaik sahaja ia dibuka akan ditapis dengan teliti.
“Kami akan menapis pelancong yang ingin memasuki Bali agar tergolong dalam kategori berkualiti. Pelancong ‘backpackers’ tidak diundang kerana kami mahu pastikan persekitaran Bali sentiasa bersih dan terjaga,” ujarnya.
Kenyataan tersebut menjadi tular di media sosial dan menimbulkan kemarahan netizen yang beranggapan ia akan menjejaskan kemasukan pelancong asing terutama dari Barat yang gemar mengembara secara ‘backpackers’.
Kenyataan susulan daripada Kementerian Penyelaras Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan tampil menjelaskan maksud sebenar Luhut adalah bahawa larangan yang dikatakan itu bagi pengunjung yang melanggar protokol kesihatan dan undang-undang imigresen.