Diskriminasi Terhadap Industri Pawagam, Ramai Desak Kerajaan Benarkan Pawagam Beroperasi Semula – Manis Madu
Diskriminasi Terhadap Industri Pawagam

Diskriminasi Terhadap Industri Pawagam, Ramai Desak Kerajaan Benarkan Pawagam Beroperasi Semula

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) yang berkuat kuasa 13 Januari lalu, menyaksikan perkhidmatan sektor bukan keperluan utama seperti spa, gimnasium, pusat kasino, pusat memancing dan pawagam kembali lumpuh kerana tidak dibenarkan beroperasi.

 

Dapat menarik nafas lega, pengumuman pembukaan semula beberapa sektor ekonomi dan sektor bukan keperluan telah dibenarkan dan kebanyakannya telah mula beroperasi seperti biasa.

 

Namun tidak bagi industri pawagam yang masih ditutup dan masih belum mendapat kebenaran untuk beroperasi semula.

 

Perkara ini merungsingkan pengusaha pawagam dan para penggiat seni kerana penutupan pawagam nyata merencatkan pendapatan mereka dan turut menjejaskan ribuan pekerjaan berkaitan!

Rentetan daripada perkara tersebut, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) telah membuat beberapa rayuan untuk mendapatkan bantuan daripada kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Antara permohonan yang diajukan ialah pengecualian atau pengurangan cukai hiburan untuk pemamer filem.

 

“Industri pawagam tidak lagi mampu menanggung penutupan lebih lama dan ianya pasti akan lumpuh, menjejaskan kehidupan setiap rakyat Malaysia yang berkhidmat dalam keseluruhan rantaian bekalan. Kami berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan semula secara serius keputusan mereka untuk membenarkan kami kembali beroperasi,” kata Pengerusi MAFE, Jeneral (Bersara) Tan Sri Datuk Amar (Dr) Mohd Ghazali Dato’ Mohd Seth.

Seperti yang disebut tadi, krisis ini bukan sahaja melibatkan sektor pawagam sahaja namun turut menjejaskan sektor lain. Salah satunya adalah industri seni.

 

Menurut pengarah dan penerbit terkenal Datuk Dr Yusof Haslam, beliau berkata, “Sebagai pembikin filem tanah air, kami amat terkesan dengan pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan tiga buah filem seperti Abang Long Fadil 3, Polis Evo 3, dan Mat Kilau.

 

Jumlah pelaburan yang besar sebanyak RM20juta telah pun dikeluarkan untuk penerbitan tiga buah filem tersebut. Penguatkuasaan SOP yang agak ketat ke atas industri kreatif juga memberikan kesan negatif kepada seluruh kelompok warga seni yang terlibat.

 

“Pihak kerajaan perlu perhalusi masalah ini sebelum keadaan menjadi lebih parah. Kerugian yang ditanggung oleh pengusaha pawagam sejak perlaksanaan PKP pertama pada tahun 2020 hinnga ke hari ini perlu diambil kira. Tidak mustahil industri pawagam akan lumpuh sepenuhnya dan adalah sukar untuk dipulihkan,”

Semoga pawagam dibenarkan beroperasi semula demi menyelesaikan krisis kewangan yang semakin parah! Kami juga rindu nak ke pawagam!

Post a Comment