Ejen Kosmetik Diculik Tiga Lelaki Bersenjata Berjaya Diselamatkan! – Manis Madu

Ejen Kosmetik Diculik Tiga Lelaki Bersenjata Berjaya Diselamatkan!

Maklumat terkini mengenai ejen penjualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, 36, yang dilaporkan dilarikan tiga orang lelaki bersenjata dari kediamannya kira-kira 17 hari lalu akhirnya berjaya diselamatkan malam tadi.

 

Menurut laporan Free Malaysia Today, Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, mangsa ditemui di sebuah lokasi di Thailand hasil bantuan dan kerjasama erat antara pihak berkuasa negara itu dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Melalui siasatan serta kerjasama erat antara PDRM dengan polis Thailand serta perkongsian maklumat dan perisikan telah berjaya menjejaki serta mengenalpasti lokasi keberadaan mangsa di Thailand.

 

“Mangsa akhirnya berjaya diselamatkan dan telah dibawa pulang ke Malaysia hari ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

 

Susulan itu, seramai tujuh orang lelaki tempatan telah ditahan sekitar Kelantan, Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan.

 

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1861 dan pihak polis juga turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan suspek untuk melarikan mangsa.

Dalam pada itu, keluarga Rosnazirah atau lebih mesra dikenali sebagai Azi, berasa terkejut dan masih tak percaya wanita itu berjaya ditemui dengan selamat.

 

Kakak Azi yang enggan identitinya didedahkan berkata, setakat ini keluarganya yang lain tidak percaya Azi selamat selagi tidak bertemu mata dengan adiknya meskipun pihak polis sudah mengeluarkan kenyataan.

 

Dia juga memberitahu menerima banyak mesej dan panggilan telefon daripada saudara mara dan rakan-rakan yang memaklumkan Azi selamat sejak petang semalam lagi. Meskipun begitu, mereka sekeluarga sukar mempercayai perkhabaran itu memandangkan begitu banyak berita palsu tersebar sebelum ini.

 

“Adakah berita ini sahih? Setakat ini, saya masih merahsiakan berita mengenai penemuan Azi daripada ibu dan ayah kerana khuatir mereka tidak dapat tidur malam ini. 

 

Mereka pasti akan tanya Azi berada di mana dan di balai mana sedangkan saya sendiri tidak tahu mengenai perkara itu,” katanya.

 

Buat masa ini keluarga mangsa juga tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak polis mengenai keadaan adiknya meskipun ada yang mengatakan mangsa sudah berada di Malaysia.

 

“Jika berita ini sahih, kami tidak sabar untuk bertemu dengannya tapi tolonglah beritahu di mana Azi sekarang ini,” katanya lagi.

 

Semoga Azi segera dipertemukan kembali ke pangkuan keluarganya dan semoga semua urusan dipermudah!

Post a Comment