Elak Pembaziran, Syarikat Di Jepun Cipta Roti Putih Tanpa Kerak! – Manis Madu

Elak Pembaziran, Syarikat Di Jepun Cipta Roti Putih Tanpa Kerak!

Roti putih memang menjadi kegemaran kebanyakan rakyat Malaysia. Pernah beberapa tahun lalu, satu negara gempar dan gelabah apabila stok roti putih susut!

 

Namun, dalam kalangan kita ada juga yang kurang gemar bahagian kerak roti yang berwarna coklat dan bahagian itu kebiasaannya dibuang begitu sahaja. Ini kerana teksturnya yang lebih liat berbanding permukaan roti yang putih gebu.

Baru-baru ini, sebuah syarikat di Jepun iaitu Imperial Hotel Co. telah melancarkan roti kerak putih yang bertujuan membendung pembaziran makanan! Roti shokupan dari negara matahari terbit itu telah diberikan wajah baru selepa seorang chef berjaya menghasilkan roti tanpa kerak.

 

Menurut laporan Oddity Central, inovasi dalam dunia makanan itu terhasil selepas Chef Sugimoto mendapati pembaziran makanan berlaku ketika beliau menyediakan sandwich dan terpaksa memotong sebelum membuang bahagian kerak pada setiap kepingan roti yang dihidangkan.

Untuk pengetahuan Maduners, selama enam bulan diperlukan buat Sugimoto dan pasukannya mencipta roti tanpa kerak putih berkenaan. Meskipun terdapat individu yang menggunakan kerak roti untuk dijadikan makanan lain, Sugimoto berpendapat adalah lebih baik jika roti yang tidak perlu dibuang keraknya dicipta.

 

Dalam pada itu, beliau memilih untuk tidak berkongsi resipi dan rahsia disebalik penghasilan roti tanpa kerak. Namun, beliau mengakui roti itu dibakar pada suhu yang lebih rendah berbanding roti shokupan jenis lain. Ini menyebabkan kerak dihasilkan adalah berwarna putih dan teksturnya juga lebih lembab.

Post a Comment