Guna ‘Remix’ Laungan Azan, Stesen Televisyen Korea Selatan Dikecam Teruk! – Manis Madu
Guna ‘Remix’ Laungan Azan, Stesen Te

Guna ‘Remix’ Laungan Azan, Stesen Televisyen Korea Selatan Dikecam Teruk!

Salah sebuah stesen televisyen di Korea Selatan, Mnet menempa kecaman hebat penggemar muzik K-pop di seluruh dunia apabila bertindak menggunakan laungan azan dalam sebuah program terbitannya.

Menurut laporan, perbuatan tersebut dilakukan Mnet dalam program Street Woman Fighter dengan menggunakan laungan azan yang telah di ‘remix’ bersama lagu lain.

 

Mnet menggunakan bunyi azan pada bahagian intro lagu latar dalam episod awal rancangan tersebut yang dimuat naik menerusi saluran YouTube milik mereka, 24 Ogos lalu.

 

Perkara berkenaan kemudian mendapat perhatian peminat terutamanya yang beragama Islam kerana mereka kecewa dan marah dengan tindakan biadab stesen tersebut.

 

Rata-ratanya meluahkan rasa kesal sehingga perkara tersebut trending dalam laman sosial seperti Twitter dengan peminat membangkitkan kemarahan menerusi tanda pagar #mnetapologize.

 

Netizen dan peminat yang mengetahui akan hal tersebut pantas mengecam pemilihan lagu yang dilakukan Mnet dan menyerang akaun media sosial rasmi stesen berkenaan.

 

Malah peminat juga menuntut Mnet membuat permohonan maaf kerana telah melukakan hati penggemar K-pop terutamanya mereka yang beragama Islam.

 

Selepas perkara tersebut tular, netizen mendapat tahu bahawa lagu yang digunakan dalam program berkenaan sebenarnya merupakan lagu sebuah kumpulan Inggeris bernama Losers.

 

Tidak berdiam diri, netizen turut menyerang video klip lagu yang diberi judul Azan tersebut dalam YouTube dan mengecam kumpulan itu kerana memperlekehkan agama orang lain.

 

Street Woman Fighter merupakan program pertandingan menari yang menampilkan peserta wanita dan dihoskan oleh penyanyi terkenal, Kang Daniel sementara kerusi juri diduduki oleh PSY di samping BoA dan Taeyong NCT.

 

Hari ini, menerusi laman media sosial Mnet Dance, stesyen televisyen Korea Selatan tersebut telah melakukan permohonan maaf atas kesilapan mereka yang kurang sensitif terhadap penggunaan luangan azan.

Post a Comment