Hati-Hati! Tawaran Kerja ‘Scam’ Di Platform e-Dagang Makin Berleluasa – Manis Madu
macbook pro join us online

Hati-Hati! Tawaran Kerja ‘Scam’ Di Platform e-Dagang Makin Berleluasa

Polis Pulau Pinang menerima 149 laporan berhubung penipuan tawaran kerja di platform e-dagang terkenal hingga membabitkan kerugian lebih RM1.2 juta sejak Januari hingga dua hari lepas.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pulau Pinang Mohd Rosni Mohd Lazim berkata daripada jumlah itu, polis membuka sebanyak 107 kertas siasatan dengan 66 mangsa adalah wanita manakala 41 lagi membabitkan lelaki yang kesemuanya berusia 24 hingga 54 tahun.

 

“Modus operandi sindiket itu ialah mengiklankan tawaran kerja melalui aplikasi WhatsApp, Instagram dan Facebook dengan individu yang berminat akan menekan pautan diberikan menggunakan logo platform e-dagang seperti Shopee, Lazada, Zalora dan lain-lain lagi.

 

“Mangsa yang berminat dengan tawaran kerja kemudiannya diarahkan oleh sindiket untuk membeli barangan di platform e-dagang dan dijanjikan komisen lapan hingga 15 peratus bergantung kepada jumlah belian barangan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

person using MacBook Pro

Menurut laporan, mangsa seterusnya diarahkan untuk membuat pembayaran bagi pembelian produk yang diiklankan di platform e-dagang ke akaun bank dikawal sindiket dengan dijanjikan menerima semula wang mereka berserta komisen dalam tempoh 10 hingga 15 minit selepas pembayaran dibuat.

 

Mohd Rosni berkata, pada peringkat permulaan mangsa menerima wang dan komisen mereka namun selepas membuat pembelian dalam jumlah dan nilai yang tinggi mangsa sudah tidak menerimanya malah disekat untuk menghubungi sindiket tersebut.

 

Menurut beliau, pembayaran barang dalam tugasan itu bukanlah untuk pembelian, tetapi bertujuan menaikkan rating barangan tersebut dalam platform berkenaan dan sindiket menggunakan ‘keldai’ akaun bagi urusniaga perbankan berkenaan.

 

“Kes tawaran kerja itu adalah antara taktik terbaru sindiket penipuan kerana mereka tahu ramai yang terdesak dan memerlukan kerja serta gaji untuk meneruskan kehidupan ketika pandemik Covid-19 sekarang ini, kemuncaknya sejak tiga bulan lepas kami menerima hingga 10 laporan polis kes seperti ini setiap hari.

 

“Siasatan polis mendapati kebanyakan yang menjadi mangsa ialah pelajar universiti dan institut pengajian tinggi iaitu sebanyak 35 kes membabitkan mereka, kebanyakan mereka percaya dengan tawaran kerja itu kerana kononnya membabitkan platform e-dagang terkenal,” katanya semua kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 

Beliau berkata ketika ini pihaknya sedang mengesan rangkaian sindiket penipuan itu dan polis juga telah menahan sejumlah individu yang menjadi keldai akaun kepada geng tersebut.

Post a Comment