Hentikan Trend Makan Makanan Pedas Melampau, Bahaya Untuk Kesihatan!
Trend makan makanan pedas yang melampau boleh dikatakan fenomena yang masih kekal relevan hingga hari ini.
Susulan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menghentikan trend tersebut kerana boleh menjejaskan kesihatan.
Menurut sebuah perkongsian oleh seorang pakar perubatan, Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan di laman Twitter, makanan pedas menyumbang kepada faktor yang menyebabkan gastroesophageal reflux disease (GERD) iaitu keadaan yang mana asid melimpah ke esophagus, pedih ulu hati dan sendawa berasid.
Saya rasa, dah tiba masanya kita hentikan trend menu makanan pedas melampau, dan cabaran makan makanan pedas. Ia trend yang boleh menjejaskan kesihatan. Ikuti thread ni. pic.twitter.com/kDG4sFum2a
— Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan (@dr_chaku) November 7, 2021
Katanya, keadaan itu juga boleh menyebabkan seseorang yang mempunyai keradangan perut (gastritis), ulser perut dan buasir akan menjadi lebih parah.
“Biasanya apabila terlalu pedas, orang akan makan laju-laju! Kunyah pun ala kadar sahaja. Ini sesuatu yang tak bagus untuk penghadaman. Di mulut makanan perlu dihancurkan secara fizikal, iaitu dikunyah.
“Selain itu, di mulut pencernaan kimia juga berlaku. Enzim amilase daripada air liur diratakan pada makanan semasa dikunyah. Fungsi enzim ini adalah untuk menguraikan kanji kepada unit karbohidrat yang lebih kecil atau gula ringkas,” tulisnya.
View this post on Instagram
Tambahnya lagi, makanan apabila tidak dikunyah sempurna menjejaskan penghadaman dan pencernaan sekaligus tidak mendapatkan sepenuhnya zat daripada makanan yang kita makan.
“Ini kerana ada cabaran-cabaran internet yang mengajak kepada hal itu. Kononnya jika seseorang yang sahut cabaran tahan pedas lampau ni, dia akan dianggap hebat dan dipandang ‘cool’.
“Siapakah yang menanam anggapan ini? Kitalah! Kita yang menyemai persepsi itu melalui media sosial, dibantu oleh industri makanan dan minuman, sama ada perusahaan kecil mahupun syarikat gergasi. Berlawanan-lawan nak keluarkan menu yang paling pedas!
“Sampai ada pelanggan yang sakit perut berguling-guling, cirit-birit berterusan dan buasir berdarah. Jadi, kita jugalah yang bertanggungjawab untuk hentikan benda ni. Tidak usahlah buat cabaran-cabaran itu semua lagi,” jelasnya.