Individu Gunting Jalur Gemilang Diburu Polis!
Kecoh di media sosial baru-baru ini apabila satu video menunjukkan seorang lelaki dilihat menggunting dan merosakkan bendera kebangsaan, Jalur Gemilang yang dipasang sekitar kawasan Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) di ibu negara.
Menurut laporan, susulan perkara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, usaha mengesan pelaku berkenaan sedang dilakukan namun pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian tersebut.
“Tindakan mengesan individu yang melakukan perkara itu (gunting dan rosakkan Jalur Gemilang) sedang dijalankan,” katanya.
Noor Delhan juga berkata, polis sedang meneliti rakaman video tular di media sosial tersebut untuk tindakan lanjut.
Dalam rakaman yang dimuat naik di TikTok, tindakan pelik individu berbaju merah lengan panjang dengan mengenakan topi berwarna biru menggunting dan merosakkan Jalur Gemilang di hadapan bangunan MaTic mencetuskan kemarahan ramai di media sosial.
@aznielbnewBendera Malaysia Negaraku diGunting..Biadap !?♬ original sound – AZniel NewMurni ShaP
Difahamkan, rakaman berdurasi 38 saat yang dimuat naik seorang wanita itu dirakam secara kebetulan ketika dia melewati kawasan terbabit.
Wanita berkenaan juga berkata dia sempat menegur perbuatan lelaki berkenaan namun dia dimarahi pelaku dan tidak berani melakukan apa-apa memandangkan lelaki berkenaan memegang gunting.
Insiden berkenaan nyata membangkitkan kemarahan dan menyinggung perasaan orang awam lebih-lebih lagi melihat Jalur Gemilang dengan sengaja dirosakkan sedemikian menjelang Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.