Inovasi Ubah Bas Mini Lama Menjadi Surau Bergerak, Ramai Kagum!
Pernah tular sebelum ini, kewujudan surau bergerak yang terletak di Food Truck Drawbridge, Kuala Terengganu. Orang Ganu mesti tahu tentang ini!
Siapa sangka, sebuah bas sekolah lama berjaya ditransformasikan menjadi surau bergerak interior yang cantik dan selesa hasil sentuhan Pengerusi Terengganu Food Truck iaitu Yusuf Hadi Al Hafidz Sapai.
Menurut Bernama, kewujudan surau bergerak itu ternyata memberi kemudahan buat pengunjung kawasan food truck berkenaan untuk mengerjakan ibadah solat dengan selesa.
Surau bergerak itu dilengkapi dengan pendingin hawa, tempat wudhu, ruang yang cukup luas untuk solat berjemaah, lampu, jam waktu solat dan bumbung bagi mereka yang ingin solat di luar kenderaan.
Setelah beberapa ketika, kewujudan surau itu akhirnya mendapat bantuan lesen serta undang-undang daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu.
“Hasil sumbangan orang ramai, proses ubah suai dengan kos hampir RM40,000 ini berjaya direalisasikan dan saya amat berterima kasih kepada JPJ Terengganu kerana berjaya mendaftarkannya secara sah di bawah kod badan Bas Perkhidmatan Bergerak mengikut peraturan,” ujar Yusuf Hadi.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Zailani Haji Hashim menyerahkan Lesen Kenderaan Motor (LKM) surau bergerak itu kepada Yusuf Hadi ketika berlangsungnya Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat JPJ Negeri Terengganu di Perkarangan Dewan Putra, JPJ Negeri Terengganu Ahad (22 Mei) lalu.
Hebatnya! Semoga dengan ‘kehadiran’ surau bergerak ini akan lebih memudahkan umat Islam melakukan ibadah solat dengan mudah dan selesa di kawasan berkenaan.