Instafamous Mengaku Beri Maklumat Palsu Rentas Negeri, Terima Hukuman Penjara Satu Hari Serta Denda – Manis Madu
Instafamous Mengaku Beri Maklumat Palsu Rentas Negeri

Instafamous Mengaku Beri Maklumat Palsu Rentas Negeri, Terima Hukuman Penjara Satu Hari Serta Denda

Isu rentas negeri pasangan suami isteri ini berakhir apabila kedua-duanya mengaku bersalah memberi maklumat palsu bagi mendapatkan kebenaran rentas negeri untuk berbulan madu. Mereka dijatuhkan hukuman penjara satu hari dan denda RM2,500 di Mahkamah Majistret, lapor BHOnline.

Tertuduh, Azharique Shah Abdul Jalil, 23 dan isterinya Iram Naz Hafiz Sabir Muhammed, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

 

Pasangan berkenaan dikatakan membuat permohonan merentas negeri ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ke Johor, memberikan maklumat palsu secara bertulis kepada Ketua Balai Polis Wangsa Maju, Asisten Superintendan Fairul Nizam Anuar pada jam 2 petang, 15 Mac lalu.

 

Rentetan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 22 (D) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan hingga dua tahun atau denda kedua-duanya sekali.

 

Iram Naz dalam rayuannya memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara kerana dia adalah wakil tunggal untuk menyara keluarga.

 

“Saya memohon hukuman minimum dan tidak dipenjarakan. Kami tidak akan ulangi kesalahan yang sama lagi selepas ini.

 

“Kami hanya membuat tempahan penginapan hotel pada 26 Disember lalu, ketika rentas negeri dibenarkan untuk menyambut ulang tahun perkahwinan namun ditunda beberapa kali.

 

“Kami cuba batalkan tempahan itu namun hotel tidak mahu mengembalikan wang deposit menyebabkan kami meneruskan hasrat untuk merentas negeri pada 17 Mac lalu,” katanya.

 

Sementara itu, Azharique Shah mengaku mengambil ringan ketika mengisi borang rentas negeri dengan memberi alamat lain.

 

“Saya tidak sangka akan jadi macam ini kerana isteri ada rumah di Johor dan alamat itu mengikut alamat kad pengenalan isteri di Johor,” ujarnya.

 

Selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak, Chai Sia memerintahkan pasangan itu dipenjara selama sehari dan masing-masing didenda RM2,500.

 

“Perbuatan orang kena tuduh (OKT) memberi contoh buruk kepada masyarakat di mana sewaktu PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) tidak dibenarkan rentas negeri.

 

“Tempahan tempat penginapan tidak dapat dibatalkan dan wang tidak dikembalikan bukan satu alasan untuk merentas negeri,” katanya.

Sumber Gambar: Twitter

Post a Comment