Isteri Positif Covid-19, Pengantin Lelaki Bersanding Dengan Komputer Riba
Kisah Meor Izz Rasydan, 27, dan pasangannya, Fazliana Sjafni, 28, mendapat perhatian warganet di media sosial selepas tular dia bersanding dengan bertemankan sebuah komputer riba di atas pelamin bagi menggantikan isterinya yang tidak dapat hadir akibat dijangkiti wabak Covid-19.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di akaun TikTok @kakleeha, turut kelihatan pengantin perempuan lengkap dengan busana songket biru sedondon, namun hanya mampu berada di skrin komputer riba disebabkan sedang menjalani kuarantin kendiri.
View this post on Instagram
Berkongsi lanjut, Meor berkata, dia dan pasangan sudah merancang untuk mengadakan majlis resepsi di sebuah dewan di Jalan Ampang, di sini, hampir setahun lalu.
Katanya, mereka juga tidak pernah melihat atau berada di dewan terbabit walaupun selepas bernikah pada 22 Februari lalu.
“Rasa sebak dan sedih tetapi saya akur, reda atas ketentuan Ilahi jika ini qada’ dan qadar Allah yang sudah tertulis,” katanya.
Sementara itu, Fazliana dilaporkan sah positif Covid-19 sehari sebelum majlis resepsi iaitu pada 27 Februari lalu selepas melakukan ujian RT-PCR (Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction).
Katanya, kebetulan selepas bernikah dia dan Meor duduk berasingan dan disebabkan itu suaminya tidak bergejala dan keputusan ujian Covid-19 juga negatif.
View this post on Instagram
“Bagi mengatasi situasi tidak terduga ini, saya bersama adik ipar dan keluarga suami cuba sedaya upaya mencari jalan dengan cara mengadakan persandingan secara virtual iaitu melalui panggilan video.
“Kerana itulah, suami terpaksa bersanding bersama komputer riba di pelamin dan saya pula di rumah hanya mampu membuat panggilan video dengan sepersalinan songket yang sepatutnya kami idamkan untuk dipakai bersama pada majlis resepsi,” katanya yang masih menjalani kuarantin kendiri yang tamat, hari ini.
Katanya, dia dan suami tidak memilih untuk menunda majlis persandingan itu memandangkan tetamu jemputan sudah tiba di Kuala Lumpur sehari lebih awal.
“Bukan disebabkan kos, tetapi sebaliknya undangan jauh dari Perak, Perlis dan Sabah sudah tiba sehari awal. Alhamdulillah, majlis tetap berjalan dengan lancar walaupun tanpa pengantin perempuan bersanding sama,” katanya yang reda dengan ujian yang menimpanya.