Jual Semula Kad Touch ‘n Go Dengan Harga Berlipat Kali Ganda, ‘Reseller’ Cekik Darah Ditahan! – Manis Madu

Jual Semula Kad Touch ‘n Go Dengan Harga Berlipat Kali Ganda, ‘Reseller’ Cekik Darah Ditahan!

Seperti yang sedia maklum, penggunaan kad Touch ‘n Go (TNG) adalah satu keperluan buat kita semua untuk pelbagai kegunaan. Tak kira ketika memandu atau menaiki LRT.

 

Ditambah pula dengan teknologi baru yang telah dikemas kini pada kad TNG tersebut iaitu Near Field Communication (NFC) yang membolehkan pengguna menambah nilai hanya melalui telefon pintar, menyebabkan permintaan kad TNG sangat tinggi dan selalu kehabisan stok.

 

Isu ini pernah diperdebatkan sebelum ini apabila terdapat netizen yang mendakwa ada pihak tidak bertanggungjawab dengan sengaja memborong kad berkenaan lalu dijual semula dengan harga yang sangat tinggi dan tidak masuk akal!

Kad berkenaan sebenarnya boleh didapati di stesen minyak tertentu atau menerusi aplikasi TNG dengan hanya RM10 namun sangat susah untuk mendapatkan stok kerana wujudnya penjualan kad NFC atas talian dengan harga berlipat kali ganda.

 

Menurut laporan Utusan Malaysia, sejak April sehingga 25 September lalu, Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menerima 4 aduan tentang kad NFC dan mengesan 13 iklan jualan atas talian melibatkan kad tersebut.

“Berdasarkan semakan dan maklumat daripada pengelola platform pasaran dalam talian, sebanyak 11 premis merangkumi kediaman peribadi serta bangunan perniagaan diperiksa berhubung kes sama.”

 

“Pasca pemeriksaan awal, sebanyak enam notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dikeluarkan kepada pihak terbabit, yang antara lain menuntut supaya maklum balas atau penjelasan rasmi perlu dikemukakan kepada Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP.”

 

“Kegagalan berbuat demikian, pihak terbabit boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 21(5) AKHAP 2011 kerana enggan atau gagal mengemukakan maklum balas,” katanya.

Dengan itu, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP dan pengurusan kementerian akan membuat pertemuan dengan syarikat TNG dalam masa yang terdekat. Ini adalah untuk mendapatkan status kaedah semasa penjualan dan isu kekurangan stok kad NFC tersebut.

 

Pada masa sama jelasnya, orang ramai boleh terus menyalurkan aduan dan maklumat kepada Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP berhubung isu sama untuk tindakan lanjut melalui:

 

WhatsApp: 019-279 4317 atau 019-848 8000

Portal Aduan: e-aduan.kpdnhep.gov.my

Call Centre: 1-800-886-800 

Emel: e-aduan@kpdnhep.gov.my dan Ez ADU KPDNHEP

 

“Sebarang perkembangan mengenai hasil pertemuan antara KPDNHEP dengan syarikat TnG akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

 

Harapnya isu ini akan segera diselesaikan dan semua individu tak bertanggungjawab yang terlibat akan dikenakan tindakan sewajarnya!

Post a Comment