Jururawat Dipenjara Seumur Hidup Bunuh Tujuh Veteran Tentera – Manis Madu
Jururawat Dipenjara Seumur Hidup Bunuh Tujuh Veteran Tentera

Jururawat Dipenjara Seumur Hidup Bunuh Tujuh Veteran Tentera

Baru-baru ini seorang jururawat di Amerika Syarikat (AS) telah dipenjara seumur hidup atas dakwaan membunuh tujuh orang veteran tentera menggunakan dos insulin ketika berada di bawah jagaannya di sebuah hospital.

 

Menurut Hakim Thomas Kleeh dalam penghakimannya memberitahu bahawa tiada penjelasan dan justifikasi ke atas dakwaan yang berlaku, malah merasakan perbuatan itu adalah sangat teruk dan tidak disangka.

 

Tertuduh, Reta Mays, 46, bagaimanapun mengaku bersalah membunuh tujuh termasuk cubaan untuk membunuh seorang lagi lelaki Julai tahun lalu.

 

Menurut laporan Berita Harian, dia bagaimanapun tidak menjelaskan tindakannya ketika prosiding dijalankan semasa di hadapan waris si mangsa, semalam. 

 

“Tiada apa dapat saya jelaskan kepada waris mangsa. Saya hanya ingin meminta maaf atas tindakan saya,” – Mays

 

Mays mengaku telah memberi insulin kepada mangsa berusia 81 hingga 96 tahun antara Julai 2017 hingga Jun 2018.

 

Insulin digunakan untuk merawat diabetes, ini amat berbahaya jika digunakan oleh individu yang tidak menghidap penyakit berkenaan kerana ia akan menurunkan glukosa dalam darah serta boleh menyebabkan koma dan kematian. 

 

Kematian ke atas pesakit akhirnya dapat dikenal pasti oleh doktor walaupun pada awalnya mangsa dilihat mati secara semula jadi. 

 

Pihak polis membuka kertas siasatan dan beberapa mangsa yang lain didedahkan melalui bedah siasat.

 

Isteri salah seorang mangsa berasa terkejut ketika melihat perkataan ‘pembunuhan’ yang ditulis di dalam laporan pemeriksaan perubatan.

 

Banyak komen dan kecaman lain dari keluarga mangsa yang dilemparkan kepada si tertuduh.

 

Sementara itu, peguam Mays berkata dia tidak berkemampuan berfikir secara waras kerana masalah kesihatan mentalnya. Ini juga ada kaitannya dengan penempatan dia ke Iraq serta pekerjaannya sebagai jururawat malam di hospital veteran tentera Virginia Barat.

 

Jabatan Hal Ehwal Veteran yang mengendalikan hospital membuka siasatan bagi menentukan liabiliti dan memuktamadkan 10 perjanjian penyelesaian dengan waris mangsa. 

 

Sumber Gambar: Berita Harian

Post a Comment