Kekurangan Pekerja Hotel Punca Masalah Lambat Dapat Bilik – Manis Madu
Kekurangan Pekerja Hotel Punca Masalah Lambat Dapat Bilik

Kekurangan Pekerja Hotel Punca Masalah Lambat Dapat Bilik

Masalah kelewatan pelanggan mendapatkan bilik di hotel selepas mendaftar masuk ketika bercuti di Pulau Pinang terutama kawasan tumpuan pelancong adalah disebabkan sektor perhotelan di negeri itu kekurangan pekerja 3D (kotor, bahaya dan sukar), lapor BERNAMA.

 

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, K. Raj Kumar berkata kekurangan pekerja 3D itu disebabkan ramai pekerja hotel beralih arah ke bidang perkilangan selepas industri perhotelan dan pelancongan terjejas teruk ketika pandemik Covid-19 melanda negara hampir dua tahun lepas.

 

“Ketika ini paling kritikal ialah pekerja 3D di bahagian pembersihan bilik di hotel kerana orang tempatan tidak mahu bekerja dalam bahagian ini malah berdasarkan maklumat, banyak hotel alami kekurangan pekerja selepas Covid-19 melanda berikutan ramai mencari kerja di bidang perkilangan.

 

“Kami menganggarkan bagi setiap hotel berlaku kekurangan sekurang-kurangnya 30 hingga 40 peratus pekerja bagi sektor 3D disebabkan pandemik Covid-19, sebab itu ramai pelancong yang datang ke sini menghadapi masalah mendapatkan bilik malah terpaksa menunggu lama selepas mereka mendaftar masuk,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

W hotel

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tular di media sosial berhubung rungutan pelanggan kelewatan perkhidmatan di hotel berkenaan dan mereka mendakwa terpaksa menunggu hingga waktu malam untuk mendapatkan bilik masing-masing.

 

Raj Kumar berkata masalah itu semakin meruncing selepas rentas negeri dibenarkan dan ia diburukkan lagi apabila pelanggan datang serentak ke hotel sehingga menyebabkan berlaku kelewatan untuk mereka mendapatkan bilik masing-masing.

 

Katanya selain itu, pada masa ini tiada pekerja warga asing bagi sektor 3D yang dibekalkan oleh ejen-ejen untuk sektor perhotelan memandangkan kebanyakan daripada mereka telah bekerja di sektor lain.

 

Beliau berkata ketika ini juga kebanyakan hotel mengambil langkah dengan tidak membuka ke semua bilik di premis mereka bagi mengatasi masalah kelewatan pelanggan mendapatkan bilik selepas mendaftar masuk.

 

“Contohnya kalau hotel ada 100 bilik, sekarang ini mereka hanya buka 70 bilik sahaja untuk ditempah pelanggan, ini yang banyak hotel praktikkan sekarang bagi mengelakkan berlaku masalah kepada pelanggan iaitu kelewatan mendapatkan bilik masing-masing,” katanya.

Post a Comment