Kerana Berpuasa, Majikan Tergamak Rotan Dua Pekerja Sehingga Lebam – Manis Madu
Majikan Tergamak Rotan Dua Pekerja Sehingga Lebam

Kerana Berpuasa, Majikan Tergamak Rotan Dua Pekerja Sehingga Lebam

Dek kerana tidak senang dengan dua orang pekerjanya yang berpuasa, seorang majikan tergamak memukul mereka sehingga cedera.

 

Susulan kejadian itu, empat individu yang disyaki terbabit dalam kejadian itu telah ditahan oleh Polis Klang Selatan untuk siasatan lanjut.

 

Berkaitan kes dua orang lelaki dipukul di belakang badan itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli memaklumkan kepada media bahawa mereka menerima laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Klang pada jam 4.16 petang semalam.

 

Setelah disoal siasat, kedua mangsa berkata mereka telah dipukul dengan menggunakan rotan oleh majikan mereka bersama seorang lagi pekerja di syarikat berkenaan.

 

Menurut Astro Awani, selain memukul mangsa, majikan tersebut juga telah mengacukan pistol kepada mangsa sambil mengeluarkan kata-kata kesat yang menghina agama serta mengugut untuk membunuh mangsa.

 

Kesemua suspek telah ditahan dan bakal dibicarakan di Mahkamah Klang di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 298 Kanun Keseksaan.

 

Ketua Polis Daerah Klang juga memberi amaran agar mana-mana individu tidak mengambil kesempatan ke atas kejadian ini dengan memuat naik apa-apa video yang berkaitan dan juga tidak melibatkan isu perkauman di dalam hal ini.

 

Mana-mana individu yang membuat provokasi dan mengancam keharmonian kaum akan diambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang yang termaktub.

Post a Comment