Lupus Kulit Durian Di Tanah Perkuburan, Pelaku Terima Padah – Manis Madu
Lupus Kulit Durian Di Tanah Perkuburan, Pelaku Terima Padah

Lupus Kulit Durian Di Tanah Perkuburan, Pelaku Terima Padah

Tindakan seorang lelaki membuang kulit durian di kawasan persendirian menerima padah apabila ditahan penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Raub dekat kawasan perkuburan Sempam di Cheroh, Raub semalam lapor Harian Metro.

 

Pengarah SWCorp Pahang Sharudin Hamid berkata, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika operasi penguatkuasaan sampah haram kulit durian dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat orang awam pada 3 petang.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada orang awam dan risikan yang dijalankan sepasukan penguat kuasa SWCorp berjaya menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda bersama suspek.

 

“Ketika ditahan, suspek memberi kerjasama dan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 71 (1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

 

“Kesalahan yang dilakukan ialah melonggok dan melupuskan kulit durian di tempat yang tidak dibenarkan di kawasan persendirian.

 

“Dalam kes ini, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

 

Sharudin berkata, siasatan awal mendapati kira-kira satu tan kulit durian sudah dibuang di kawasan terbabit yang turut dilakukan individu lain.

 

Katanya, pasukan penguat kuasa SWCorp ketika ini mengadakan operasi mengesan kawasan yang dijadikan tempat pembuangan sisa kulit durian.

 

“Dengan tindakan yang dikenakan terhadap suspek itu diharap memberi pengajaran kepada individu lain untuk tidak melakukan perbuatan sama.

 

“Oleh itu, kita meminta kerjasama orang ramai yang melihat perbuatan terbabit supaya melaporkan kepada SWCorp untuk tindakan.

 

“Kita tidak mahu kawasan persendirian dijadikan tempat pembuangan kulit durian hingga mengundang pencemaran terutama bau busuk,” katanya.

Sumber Gambar: Harian Metro

Post a Comment