‘Makcik Cleaner’ Fasih Berbahasa Jepun Rupanya 30 Tahun Pernah Jadi Pemandu Pelancong!
Sebuah video memaparkan seorang wanita yang bekerja sebagai pencuci di Masjid Negara fasih bertutur dalam bahasa Jepun tular di pelbagai platform media sosial dan berjaya menarik perhatian ramai.
Dalam video berkenaan, ‘makcik cleaner’ berkenaan bukan sahaja rancak berbual bersama beberapa delegasi dari Jepun, malah pertuturannya dalam bahasa Inggeris juga meninggalkan tanda tanya mengenai latar belakang wanita ini.
Terbaharu, memetik laporan portal Harian Metro, pekerja kebersihan tersebut berkata dia bukan pensyarah seperti yang didakwa oleh segelintir warganet dan mengakui dia hanya sekadar insan biasa.
Pemilik nama Nirmaningsih Mawi mendedahkan dirinya pernah bekerja selama 30 tahun sebagai pemandu pelancong namun beralih menjadi tukang cuci kerana penutupan sempadan akibat pandemik Covid-19.
“Kali terakhir saya bawa pelancong ke negara ini (sebelum PKP) adalah pada 13 Mac lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengubah hidup saya. Empat bulan saya tidak bekerja sebelum ambil tawaran bekerja sebagai tukang cuci di sebuah syarikat.” katanya.
Nirmaningsih atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ning memberitahu dia sudah enam bulan sebelum beralih ke sebuah syarikat sanitasi dan kini berada di Masjid Negara bersama suami yang juga bekerja sebagai tukang cuci.
“Satu pengalaman baru kerana dulu, saya bawa pelancong ke masjid tetapi kini bekerja di sini pula,” katanya ketika ditemui di Perpustakaan Sheikh Idris Al-Marbawi, di sini.
“Di sini, saya dapat jumpa pelancong setiap hari, jumpa dan makan tengah hari dengan suami, solat dan baca al-Quran. Selain itu, ada banyak kelas agama seperti tadarus jadi itu yang menarik malah saya sudah anggap masjid ini seperti ‘heart of the city.” ujarnya.
Selain itu, Kak Ning memberitahu anaknya pernah meminta dia untuk mencari pekerjaan lain tetapi baginya ia (tukang cuci) tetap satu pekerjaan malah memberi peluang bersama suaminya.
Lebih menarik, selain mahir berbahasa Jepun, Kak Ning juga cekap menggunakan bahasa Jerman, Arab dan Inggeris.
Ketika ditanya tentang pengalamannya sebagai pemandu pelancong, Kak Ning menceritakan kerjayanya bermula pada tahun 1990 di bawah syarikat agensi pelancongan selama empat tahun sebelum bergerak secara bebas.
Susulan itu, wanita berusia 59 tahun itu mengambil kursus bahasa bermula dengan bahasa Inggeris pada tahun 1990, diikuti Jepun (1991-1992), Arab (2010) dan Jerman pada tahun 2011.
Tambahnya, setelah tamat kursus, dia perlu menjalani ujian penilaian sebelum mendapat lesen bahasa daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).
“Kiranya, saya boleh bertutur dalam lima bahasa cuma banyak berurusan dengan pelancong dari Jepun. Saya belajar bahasa Jepun ketika mengikuti kursus intensif Dasar Pandang Ke Timur selama enam bulan di Wisma Belia, Jalan Syed Putra, di sini selepas mendapat tajaan biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
“Tamat kursus, saya bekerja sambil menjalani latihan pula di syarikat agensi pelancongan dekat Tokyo, Jepun dan di situlah saya praktikkan cara bercakap selain belajar etika kerja di sana.
“Kalau tidak ke sana, boleh jadi saya tidak boleh cakap Jepun seperti sekarang cuma pengorbanannya apabila perlu meninggalkan anak sulung yang ketika itu berumur 11 bulan,” katanya.
Menariknya, meskipun sudah terikat dengan komitmen sebagai tukang cuci di masjid, ibu kepada lima cahaya mata itu masih belum meninggalkan kerjayanya sebagai pemandu pelancong di mana dia masih menawarkan khidmat tersebut pada hujung minggu.
“Waktu kerja saya di sini adalah daripada jam 7 pagi hingga 4 petang manakala cuti pada Ahad. Jadi, waktu hujung minggu saya gunakan untuk ambil tawaran kerja sebagai pemandu pelancong dan kiranya masih boleh buat kerja seperti dulu,” katanya yang dilahirkan di Sumatera, Indonesia sebelum berhijrah ke negara ini mengikut ibunya ketika berumur tiga tahun dan masih fasih berbahasa Minangkabau.
Terdahulu, tular sebuah video yang memaparkan seorang ‘makcik cleaner’ sedang rancak berborak dengan beberapa delegasi Jepun sehingga menerima pujian ramai.