Menyayat Hati! Bomba Temui Mayat Ibu & Dua Anak Rentung Saling Berpelukan – Manis Madu
Menyayat Hati! Bomba Temui Mayat Ibu & Dua Anak Rentung Saling Berpelukan (1)

Menyayat Hati! Bomba Temui Mayat Ibu & Dua Anak Rentung Saling Berpelukan

Tiada apa yang lebih menyayat hati apabila pasukan bomba menemukan mayat ibu dan dua anaknya dalam keadaan rentung dan saling berpelukan selepas rumah mereka hangus dijilat api.

 

Menurut laporan Kompas.com, kebakaran itu berlaku di Kebayoran Lama, Jakarta Barat kelmarin, kira-kira pukul 12.03 pagi waktu tempatan.

 

Menurut jurucakap bomba, Paryo, kebakaran itu memusnahkan rumah sewa mangsa yang dikenali sebagai Indriana, 37, dan api turut merebak ke beberapa rumah lain.

 

“Kebakaran dipercayai bermula di tingkat satu rumah tersebut sebelum merebak ke tingkat atas, di mana Indriana dan dua anaknya yang masing-masing berusia tiga bulan dan tiga tahun sedang tidur.

 

“Pasukan bomba cuba memadamkan kebakaran, namun api terlalu marak dan hampir satu jam kemudian, kebakaran dapat dikawal,” katanya.

 

Jabatan Bomba dan Penyelamat Jakarta Selatan mengerahkan 11 jentera ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.

 

Selepas api dipadamkan, pasukan bomba masuk ke dalam rumah tersebut dan menemukan mayat Indriana bersama dua anaknya dalam keadaan saling berpelukan.

 

Kejadian itu menimbulkan rasa sedih dan kecewa dalam kalangan penduduk setempat.

 

Hal ini kerana, mereka cuba mengejut Indriana dan dua anaknya daripada tidur ketika kebakaran mula berlaku.

 

“Kami sudah menjerit nama dia dan anak-anaknya untuk mengejutnya dari tidur namun gagal.

 

“Mereka tidak bangun sehinggalah api terus marak. Kami amat sedih dengan kejadian yang berlaku kerana Indriana merupakan jiran yang baik,” kata seorang penduduk yang dikenali sebagai Iwan.

 

Sementara itu, siasatan awal bomba menyatakan kebakaran itu mungkin berpunca daripada litar pintas.

Post a Comment