Netizen Kagum Penduduk Bijak ‘Pagar’ Rumah Guna Papan, Elak Rumah Dimasuki Air
Banjir yang melanda negeri pantai timur terutamanya di Kelantan dan Terengganu ketika ini sememangnya di tahap membimbangkan sehingga ada kawasan yang sudah dinaiki air sehingga melepasi paras bumbung.
Namun, ada segelintir penduduk telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan lebih awal bagi mengelakkan kawasan rumah dimasuki air susulan amaran cuaca buruk yang dikeluarkan sejak beberapa minggu lalu.
Seperti perkongsian portal Mat Geo di Facebook, memaparkan tindakan bijak penduduk di Kelantan yang memagar keseluruhan halaman bagi mengelakkan air yang lalu memasuki kawasan rumah mereka.
Menerusi rakaman yang dimuat naik, dapat dilihat keadaan arus deras pada jalan utama hanya melalui sahaja tanpa memasuki halaman rumah penduduk berkenaan setelah dihadang dengan penghadang tersebut.
“Imej dari Kampung Bukit Abal, Pasir Puteh, Kelantan ini menunjukkan hebatnya tuan rumah memagar seluruh halaman rumah terus dari air banjir.
“Pemilik rumah itu tentu sekali seorang yang peka, analitikal dan terkedepan dalam menjangkakan apa yang akan cuaca bawakan, beberapa hari lebih awal,” katanya dalam satu hantaran semalam.
Dalam pada itu, video tersebut turut dikongsikan seorang pengguna TikTok @ise1199 dan mendapat perhatian oleh anak kepada pemilik rumah berkenaan.
Sediakan pagar sebelum banjir ✅ pic.twitter.com/Yos8T8QOnx
— Presiden Cha’anZoners Bigstage 2022 (@IniAlalalannn) February 27, 2022
“Ini rumah mak saya, tahun sebelum ini air selalu naik, tahun ini baru buat seperti ini,” tulis Nurul.
Katanya lagi, pagar tersebut dibuat daripada susunan papan dan dibungkus dengan plastik yang tebal bagi mengelakkan air memasuki kawasan rumah.
Sementara itu, menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai memuji tindakan pantas tuan rumah tersebut dan memberi cadangan agar setiap penduduk yang berada di kawasan berisiko banjir untuk melakukan kaedah seperti itu sebagai salah satu ikhtiar untuk mengelakkan air naik lebih teruk.
“Hebat tuan rumah ni, boleh buat tutorial untuk orang ramai ikut,” kata seorang pengguna.
“Ilmu untuk bertahan hidup itu penting,” ujar Mat Daud.