Pakai Cermin Mata Hitam Elak Berjangkit Sakit Mata? Rupa-rupanya
“Amboi, dalam rumah pun pakai cermin mata hitam. Bergaya sakan!”
Pernah tak Maduners ditegur seperti ini gara-gara memakai cermin mata hitam padahal ketika itu korang sedang mengalami masalah sakit mata.
Tapi betul ke petua memakai cermin mata hitam boleh bantu cegah masalah sakit mata daripada berjangkit dengan orang lain?
Jawapannya perkara itu adalah mitos belaka!
Petua seperti memakai cermin mata hitam, memandang mata mereka yang terkena sakit mata boleh menyebabkan jangkitan dan titikkan susu ibu sebagai rawatan adalah mitos yang selalu digunakan dalam masyarakat kita.
Memakai cermin mata hitam bagi pesakit mungkin bermanfaat untuk melindungi dari cahaya terang yang boleh menyebabkan mata bertambah sakit dan berair tetapi ia tidak mencegah dari penyebaran kuman ya.
Satu lagi, kalau korang terpandang mata pesakit yang kemerahan, ia tidak akan berjangkit!
Bagaimanakah Cara Sakit Mata Berjangkit?
Sakit mata yang disebabkan jangkitan kuman atau virus dijangkiti melalui sentuhan. Kalau Maduners ada menyentuh pada bahagian yang mengandungi virus atau kuman kemudian sentuh pula mata maka, korang memiliki risiko untuk dijangkiti penyakit tersebut.
Jangkitan ini juga boleh berlaku melalui ciuman, pelukan dan ketika bersalam salaman. Batuk serta bersin turut merupakan salah satu cara penyakit ini dijangkiti.
Haa, sebab itu kebersihan amat dititikberatkan untuk memastikan masalah ini dibendung. Maduners disarankan untuk kerap mencuci tangan dan menjaga kebersihan kanta lekap kalau mempunyai gejala sakit mata.
Apakah Tanda-tanda Sakit Mata?
Tanda-tanda masalah ini bergantung kepada jenis penyakit yang dihidapi pesakit. Setiap gejala yang dihadapi memberi gambaran kepada penyakit mata tertentu. Namun secara umum, mata yang berpenyakit akan memberi gejala berikut:
- Penglihatan yang semakin kabur
- Mata semakin berair atau berlendir kuning
- Sensasi seperti terdapat bahan asing pada mata
- Sakit kepala
- Sensitif pada cahaya
- Loya atau muntah
- Mata menjadi merah
Bagaimanakah Cara Merawat Sakit Mata?
Cara menghilangkan sakit mata bergantung kepada punca sebenar masalah tersebut. Antara ubat-ubatan atau kaedah perubatan yang lazim digunakan untuk merawat masalah ini adalah:
- Berhenti memakai kanta lekap, sebaiknya gunakan kaca mata
- Berhenti menggunakan alat solek mata
- Tukar sarung bantal setiap hari
- Gunakan tuala baru setiap hari
- Basuh tangan dengan kerap
- Jangan gunakan kain yang sama untuk mengelap mata
- Kurangkan penggunaan bahan elektronik seperti telefon pintar, komputer riba dan biarkan mata berehat
- Menekap mata dengan kain suam
Jaga kebersihan dengan lebih baik ketika mengalami sakit mata dan jangan lupa makan ubat ya Maduners!