Pameran MATTA 2022 Tawar Pelbagai Pakej & Hadiah Menarik!
Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) akan kembali berlangsung pada 9 dan 10 April ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) dengan menawarkan pelbagai pakej tiket penerbangan dan pelancongan menarik.
Menurut laporan Astro Awani, acara itu kembali dengan kerjasama rakan kongsinya, Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan rasmi selain Firefly dan MASwings yang menawarkan pelbagai promosi menarik kepada pengunjung.
View this post on Instagram
Menurut Bendahari Kehormatnya Nigel Wong, dengan Fasa Peralihan Endemik dan pembukaan sempadan negara yang dilaksanakan ketika ini, usaha merancakkan lagi sektor pelancongan negara menerusi pameran kali ini adalah tepat pada masanya.
“Selain menggalakkan pelancong datang ke Malaysia, kita juga sedang berusaha untuk menggalakkan lagi pelancong tempatan untuk meneroka destinasi domestik.
“Ini adalah kali ke-5 pameran MATTA dan kita sangat gembira dan mengalu-alukan rakan rasmi kita termasuk Malaysia Airlines selain Firefly dan MASWings,” katanya pada sidang media hari ini.
Tambahnya lagi, pameran MATTA 2022 akan menawarkan 10 tiket penerbangan meliputi destinasi menarik termasuk luar negara untuk dimenangi oleh pemenang bertuah.
Malah Firefly turut menawarkan enam baucar percuma penerbangannya yang meliputi destinasi domestik.
MASWings juga tidak ketinggalan menawarkan lima baucar tiket penerbangan ke beberapa destinasi menarik untuk dimenangi.
Pameran tersebut menurut Nigel akan dibuka bermula jam 9 pagi sehingga 7 malam dalam tempoh dua hari tersebut.