Penipu Sekarang Bukan Scam Duit Je, Guna Gambar Orang Lain Untuk Cari Jodoh Pun Ada! – Manis Madu
Guna Gambar Orang Lain Untuk Cari Jodoh Pun Ada

Penipu Sekarang Bukan Scam Duit Je, Guna Gambar Orang Lain Untuk Cari Jodoh Pun Ada!

Jangan macam-macam, scammer sekarang wujud pelbagai jenis. Bukan menyamar sebagai pegawai melalui panggilan telefon sahaja tetapi dalam kes yang satu ini, berlaku scam identiti.

 

Seorang wanita didapati menjadi mangsa perbuatan individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan gambarnya untuk tujuan cari jodoh! Nampak kelakar tapi memang benar berlaku.

 

Menurut perkongsian yang dimuat naik tuan badan di laman Twitter, wanita yang bernama Arifah Raedah memuat naik paparan skrin menunjukkan akaun Facebook palsu yang menggunakan nama dan fotonya dengan tujuan mencari pasangan hidup.

Arifah yang merupakan seorang pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri Perlis (JPN) memaklumkan dia hanya menyedari perkara itu selepas beberapa orang rakan dan anak muridnya memaklumkan perkara itu kepadanya.

“Beberapa hari lalu ada kenalan dan pelajar hantar mesej di WhatsApp dan Direct Message (DM) beritahu. Memang terkejut juga. Orang itu curi gambar-gambar saya dari Instagram dan buat akaun baru di Facebook untuk iklankan diri di group cari jodoh pula itu.

 

“Bukan satu, tapi dua group dia iklankan diri. Itu yang saya jumpa, yang saya tak jumpa pula? Gambar dan nama memang sama, tapi butiran-butiran diri semuanya salah. Tapi yang tak boleh tahan, bahagian status dia letak ‘ibu tunggal kepada dua anak’. Padahal suami saya ada lagi.

“Bahagian umur pun sama, dia main suka hati letak umur 44 tahun, padahal saya muda lagi,” dia berkata.

 

Tanpa menunggu lagi, Arifah yang berpengalaman mengajar selama 11 tahun itu segera membuat perkongsian di media sosialnya untuk menjelaskan perkara tersebut. Dia juga meminta rakan-rakan untuk ‘report’ akaun tersebut.

 

Arifah juga berkata, dia akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berikutan perkara ini.

 

“Bukan apa, kita bimbang orang salah guna untuk buat penipuan lagi selepas ini. Sekarang ini dia menipu sebab iklan diri nak cari jodoh, takut dia guna untuk tipu orang untuk tujuan lain pula, contohnya jual produk atau sebagainya.

 

“Ada yang kata benda ini jadi mungkin sebab saya selalu muat naik gambar di Instagram. Sebenarnya saya dalam masa yang sama buat paid review, tolong promote barangan yang dijual oleh orang lain.

 

“Sudah semestinya tidak boleh private akaun dan perlu muat naik gambar. Benda ini untuk membantu ekonomi orang lain juga.” katanya.

 

Arifah juga berkata dia tidak akan berfikir dua kali untuk mengambil tindakan lebih tegas sekiranya perkara yang sama berulang. Dia juga berpesan agar jadilah diri sendiri dan tidak perlulah mencuri identiti orang lain. Setiap orang ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

 

Haa! Anis setuju sangat dengan apa yang diperkatakan. Ada ke patut nak cari jodoh guna nama dan gambar orang lain? Tak patut!

Post a Comment