Perginya Tiada Ganti, 5 Filem Epik Lakonan Adibah Noor Tinggal Kenang-Kenangan! – Manis Madu
Perginya Tiada Ganti, 5 Filem Epik Lakonan Adibah Noor Tinggal Kenang-Kenangan!

Perginya Tiada Ganti, 5 Filem Epik Lakonan Adibah Noor Tinggal Kenang-Kenangan!

Beberapa hari lalu, industri seni Malaysia digemparkan dengan perginya seorang lagenda negara, Adibah Noor. Pemergian mengejut itu merupakan berita duka buat rakan-rakan terdekat, kenalan artis dan para peminat.

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SINAR (@sinar_my)

 

View this post on Instagram

 

A post shared by SINAR (@sinar_my)

Sebelum Anis sambung cerita beberapa filem penglibatan beliau paling terkenal, jom kita kenali serba sedikit biodata figura seni disayangi ramai ini.

 

Nama sebenar beliau adalah Adibah Noor binti Mohamed Omar, dilahirkan pada 3 September 1970 di Kuala Lumpur. Adibah atau lebih mesra dengan panggilan Kak Dib merupakan anak ketiga daripada empat orang adik beradik dan memiliki kemahiran dalam Jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sebelum menceburkan diri dalam bidang seni, Kak Dib terlebih dahulu menjawat tugas sebagai pendidik sekitar tahun 1993 sebagai guru bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Taman Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai penyampai radio di konti Suria FM dalam slot Suria Pagi pada 2014 sehingga 2016 digandingkan bersama pengacara Baki Zainal.

Kak Dib pernah mendapat pengiktirafan menerusi Anugerah Juara Lagu (AJL) edisi ke 21 pada 2006 untuk kategori balada, vokal terbik dan lagu terbaik (juara keseluruhan). Tahun lalu, beliau membuat ‘comeback’ dalam program realiti nyanyian, Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) yang membawanya ke konsert peringkat akhir dengan kemenangan di kedudukan tempat keempat.

Kira-kira dua minggu sebelum pemergiannya, penampilan terbaharu beliau yang dilihat semakin kurus mengundang perhatian ramai. Allahyarham menyembunyikan penyebab sebenar penurunan berat badan drastiknya dengan mengatakan beliau mengamalkan diet ketat sebaliknya perkara itu kesan daripada rawatan kanser yang diterima.

 

Kak Dib dikenali sebagai insan yang memiliki hati yang mulia, pemurah, mudah mesra dan sentiasa menyenangkan orang sekeliling. Beliau juga merupakan insan seni yang memiliki bakat besar tidak apa jua yang dilakukannya. Lakonan, nyanyian, pengacaraan bahkan penyampai radio, semuanya dihasilkan dengan sepenuh jiwa dan bersungguh-sungguh. Jarang tak menjadi!

 

Filem-filem di bawah ini merupakan filem paling laris dibintangi Allahyarham:

Sepet

Sepet ialah sebuah filem romantik komedi yang diarahkan oleh Yasmin Ahmad. Sepet mengisahkan percintaan antara seorang pemuda berbangsa Cina dengan seorang gadis Melayu yang baru sahaja tamat sekolah menengah. Dalam filem ini, Kak Dib telah melakonkan watak sebagai Kak Yam.

Mukhsin

Siapa tak kenal filem yang juga arahan sutradara Yasmin Ahmad ini? Filem yang mengisahkan tentang kasih sayang dan percintaan antara watak Orked, 10, dan Mukhsin, 12 masih disebut-sebut sebagi filem terbaik sehingga hari ini meskipun filem ini ditayangkan sekitar tahun 2007.

 

Watak Kak Yam yang dilakonkan oleh Kak Dib sebagai pembantu rumah menguatkan lagi kisah keluarga Orked dan memang berjaya menghidupkan lagi penceritaan filem fenomena ini!

Talentime

Filem ini juga tidak kurang hebat sambutannya! Talentime memaparkan kisah hubungan cinta tanpa mengira kaum, agama atau latar kebudayaan seumpamanya, di samping turut diselitkan tema pertandingan bakat di sekolah menengah. Dalam filem ini Kak Dib memegang watak sebagai Cikgu Adibah iaitu merupakan Pengetua sekolah yang mengetuai penganjuran Talentime.

Magika

Filem Magika mengisahkan tentang dua adik-beradik yang menemui sebuah alam fantasi yang berasaskan pelbagai kisah dongeng, mitos dan legenda Melayu ternama. Dalam filem ini, Kak Dib melakonkan watak sebagai Makcik Halia.

Hoore! Hoore!

Kalau Maduners nak tahu, filem Hoore! Hoore ini diterbitkan sebagai tanda penghargaan kepada Penghibur No. 1 Asia, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad atas sumbangannya kepada industri muzik Malaysia. Tajuk filem berkenaan juga diambil daripada tajuk lagu nanyian beliau dengan judul yang sama.

 

Dalam filem bergenre musical dan romcom (romantic comedy) ini, Kak Dib melakonkan watak Lia iaitu ibu kepada watak utama, Nurul Aiman yang bertubuh gempal tetapi bercita-cita untuk menyertai pertandingan Ratu Impian.

 

Hilangnya sosok tubuh seorang Adibah Noor ibarat hilangnya sebutir permata tanah air. Perginya tiada ganti, hanya boleh dirindui dan dikenangi. Selamat jalan Kak Dib!

Post a Comment