PKP Desak Lelaki Kurung Isteri & Anak Dalam Rumah Kerana Tiada Kerja
Akibat tekanan perasaan, seorang suami sanggup melakukan hal tersebut terhadap anak dan isterinya selepas stress kerana tiada sumber pendapatan pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.
Mengulas dengan lebih lanjut, Pegawai Operasi Balai Bomba Senawang, Zainurin Sarip berkata mereka menerima laporan pada jam 8.51 malam dan terus bergegas ke tempat kejadian di Taman Nusa Intan sembilan minit kemudian.
“Pihak bomba mendapat laporan seorang lelaki bertindak mengunci pagar, grill dan pintu belakang rumahnya dari dalam setelah tertekan kerana tidak mempunyai pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Kami pada mulanya cuba memujuk lelaki itu tetapi selepas lebih kurang 15 minit dan melihat dia tidak mahu beralah, kami mula mengumpil pintu pagar dan grill rumah berkenaan.
Kami terpaksa memotong kunci mangga pintu rumah berkenaan disebabkan lelaki itu mendakwa tidak tahu di mana dia meletakkan kunci tersebut,” katanya hari ini.
Menurut Kosmo, isteri ada mengadu kepada jiran sebelum itu mengenai kelakuan suami yang semakin pelik sehingga terpaksa memanggil abang mangsa dari Mambau untuk datang ke sini dan memujuk suami beliau.
“Kami menyelamatkan wanita itu dan anak-anaknya yang berusia kira-kira empat bulan dan seorang lagi lebih setahun dan menghantar mereka ke rumah jiran terdekat.
Kami dimaklumkan kesemuanya tidak makan daripada pagi.
Untuk rekod, tiada kecederaan berlaku sepanjang insiden tersebut.
Sumber Gambar: Kosmo