Rakyat Thailand Tak Setuju Kemasukan Pelancong Asing
Sebahagian besar rakyat Thailand tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk membuka semula sempadan negara kepada pelancong asing bermula 1 November nanti.
Pendapat berkenaan diperoleh melalui tinjauan pandangan yang dijalankan Suan Dusit Rajabhat University, atau Suan Dusit Poll.
Bangkok Post melaporkan, undian berkenaan dijalankan secara dalam talian pada 11 hingga 14 Oktober lalu dengan penyertaan 1,329 individu di seluruh negara.
Ketika ditanya samada negara sudah bersedia untuk menerima kehadiran pelancong tanpa perlu menjalani kuarantin, sebahagian besar responden (60.1 peratus) menjawab ‘tidak’.
Ditanya mengenai persetujuan pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 November nanti, 59.9 peratus memilih ‘tidak’.
Undian berkenaan juga meminta responden memilih syarat utama untuk membenarkan pelancong mengunjungi Thailand di mana 74.78 peratus mahu lebih 70 peratus populasi menerima vaksin berkualiti, kerajaan berupaya membendung pandemik (69.04 peratus), kesediaan sektor kesihatan (68.31 peratus), ujian saringan wajib sebelum memasuki mana-mana premis (66.03 peratus) dan keyakinan pelancong untuk mengunjungi tempat awam seperti lapangan terbang, restoran, pengangkutan awam dan hotel (65 peratus).
Responden turut ditanya mengenai kebimbangan mereka di mana 71.6 peratus berpandangan penduduk Thailand belum menerima vaksin lengkap, kemungkinan Covid-19 merebak ke seluruh negara (70.45 peratus), pelancong mungkin membawa masuk virus (66.11 peratus), bimbangkan varian baru Covid-19 (61.05 peratus) dan tiada perancangan jelas daripada kerajaan untuk mengekang penularan virus (56 peratus).
Bagaimanapun, segelintir responden bersetuju dengan pembukaan sempadan negara dengan 77.3 peratus berpendapat ia untuk merancakkan ekonomi, lebih ramai akan memiliki pekerjaan (74.7 peratus), negara akan menjana pendapatan dari sektor pelancongan (68.07 peratus) dan pelabur serta pengendali perniagaan kembali yakin dengan Thailand (57.8 peratus).