Sayu Hati! Polis Siasat 15 Ekor Kucing Mati Diracun – Manis Madu
Sayu Hati! Polis Siasat 15 Ekor Kucing Mati Diracun

Sayu Hati! Polis Siasat 15 Ekor Kucing Mati Diracun

Polis menjalankan siasatan berhubung insiden kematian 15 kucing yang dipercayai diracun di Pantai Bukit Keluang, lapor Utusan Malaysia.

 

Ketua Polis Daerah, Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, tindakan itu diambil susulan laporan dibuat seorang pengadu selepas menerima kiriman mesej dan video kematian haiwan-haiwan comel berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu disedari seorang lelaki yang melihat beberapa ekor kucing bergelimpangan di sekitar pantai pada pukul 8.30 pagi.

 

“Dua kucing mati berdekatan di persisiran pantai manakala 13 bangkai lain ditemukan berdekatan pokok.

 

“Terdapat kesan lebam biru pada perut kucing manakala darah pada mulut dan hidung di samping perut terburai,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Rozak berkata, kesemua kucing mati itu kemudian ditanam oleh lelaki berkenaan.

 

Bagaimanapun katanya, pihak penguatkuasaan dan teknikal Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Besut dan Kuala Terengganu ke lokasi kejadian bagi mengorek semula dan mengeluarkan kesemua kucing ditanam bagi mengambil sampel untuk tujuan analisis.

 

“Pengadu percaya kematian kucing-kucing itu adalah daripada perbuatan khianat individu atau kumpulan tidak bertanggungjawab yang sengaja membunuh kucing.

 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan (Khianat ke atas Binatang) yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 3 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

 

Sementara itu, kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), Badrul Hafeezy Ali, 35, sebak melihat kucing yang sering diberi makan mati bergelimpangan di kawasan Pantai Bukit Keluang.

 

Katanya, bangkai haiwan berkenaan ditemukan ketika dia bersama rakannya, Roshanapi Osman, 39, kebetulan  melalui kawasan itu.

Post a Comment