Sering Dihambur Komen Negatif, Pemilik Akaun TikTok Shashikala Nadarajah Meninggal Dunia! – Manis Madu
Sering Dihambur Komen Negatif, Pemilik Akaun TikTok Shashikala Nadarajah Meninggal Dunia!

Sering Dihambur Komen Negatif, Pemilik Akaun TikTok Shashikala Nadarajah Meninggal Dunia!

Isu kesihatan mental memang tidak sepatutnya dipandang enteng kerana perkara berkenaan boleh mempengaruhi kehidupan seseorang sehingga menyebabkan kematian!

 

Baru-baru ini, seorang pemilik akaun TikTok popular dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital dari rumahnya di Subang Jaya, Selangor.

 

Kejadian ini berlaku selepas mendiang dilaporkan menerima komen kebencian bertubi-tubi di akaunnya yang mempunyai pengikut.

“Mangsa telah dibawa oleh keluarganya ke hospital dalam keadaan masih bernafas dan meninggal dalam perjalanan,” menurut Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya dalam satu kenyataan.

 

“Hasil siasatan awal dimaklumkan bahawa si mati pernah mengalami tekanan perasaan dan mendapat rawatan di sebuah klinik swasta di Petaling Jaya.

 

“Pemeriksaan tempat kejadian dan fizikal si mati telah dibuat, tiada kesan berlakunya unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR). Post mortem telah dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya,” kata kenyataan itu lagi.

 

Polis berkata setakat ini tiada laporan yang dibuat oleh si mati atas dakwaan menjadi mangsa gangguan buli siber.

 

Difahamkan, sebelum ini media melaporkan ibu kepada tiga anak tersebut, Shashikala Nadarajah, 44, telah dibuli secara siber berkaitan penampilan dan koleksi beg tangannya di akaun media sosial.

 

Menurut seorang lagi pemilik akaun TikTok yang popular Rose Veronica, anak-anak Shashikala memberitahunya ibu mereka tidak boleh bertolak ansur dengan komen negatif di TikToknya.

 

Shashikala mempunyai lebih 30,000 pengikut di TikTok dan dia sering berkongsi pandangannya tentang pelbagai topik seperti persekolahan di rumah, gangguan seksual dan cara mengekalkan penjagaan beg tangan mewah.

 

Video terakhirnya sekitar tiga hari lalu, mengenai dia memulakan persekolahan di rumah untuk tiga anak perempuannya menggunakan sukatan pelajaran Sijil Am Pendidikan Menengah Antarabangsa (IGCSE).

Ucapan takziah memenuhi ruangan komen pada video Shashikala, dengan ramai yang menasihati mereka yang tidak dapat menangani komen negatif supaya menjauhi media sosial.

Post a Comment