Si Kembar Upin Ipin Terbang Lebih Jauh, Kini Ditayang Di Netflix UK & Australia
Sebut sahaja Upin & Ipin, siapa jerr tak kenal kan? Pasangan kembar paling dikenali seluruh Malaysia bahkan di luar negara!
Menurut laporan Berita Harian, program animasi popular berkenaan melakar satu lagi sejarah apabila perkhidmatan televisyen (TV) penstriman terkemuka, Netflix di United Kingdom (UK) dan Australia mula menayangkan kisah kembar itu sebagai antara kandungan yang ditawarkan kepada pelanggan sejak 7 April lalu.
View this post on Instagram
Berkongsi lebih lanjut mengenai langkah besar bagi syarikat produksi Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Pengurus Pemasaran Antarabangsa, Karya Budi Mohd Aris, 39, berkata, tawaran Netflix UK dan Australia itu dianggap suatu justifikasi bahawa Upin & Ipin adalah sebuah naskhah bermutu.
“Kami berbangga apabila Netflix UK dan Australia mahu menayangkan karya kami di platform mereka. Secara tidak langsung, ini membuktikan kualiti kandungan kami dan petunjuk bahawa karya kami mencapai standard antarabangsa.
“Pada masa yang sama, ini menunjukkan penceritaan yang dipaparkan dalam Upin & Ipin boleh diterima pakai di mana-mana sahaja.
“Ini bererti kandungan kami bagus untuk dibawa ke luar negara. Biarpun Upin & Ipin adalah buatan Malaysia, ia boleh diterima di seluruh dunia,” katanya.
View this post on Instagram
Bagaimanapun, Budi kurang pasti sama ada Upin & Ipin adalah karya animasi tempatan pertama yang dipilih platform penstriman itu.
“Saya tidak boleh katakan Upin & Ipin adalah animasi pertama yang ditayang di platform di dua negara terbabit.
“Kami tidak pasti sama ada pihak mereka ada mengambil karya animasi tempatan yang lain. Kami tidak dimaklumkan mengenai perkara itu tapi apabila pihak sana menerima kandungan kami, ia sudah membuatkan kami berbangga,” ujarnya.
Siri Upin & Ipin yang disiarkan Netflix UK dan Australia adalah musim kelima sehingga kelapan selain musim 11 dan 12.