Sindiket Minyak Masak, Suri Rumah Ditipu RM 437,594 – Manis Madu
Sindiket Minyak Masak, Suri Rumah Ditipu RM 437,594

Sindiket Minyak Masak, Suri Rumah Ditipu RM 437,594

Masalah kekurangan minyak masak di Indonesia ketika ini menyaksikan sekurang-kurangnya 22 suri rumah mengalami kerugian besar di Bandung selepas menjadi mangsa penipuan pembelian bahan tersebut.

 

Jumlah kerugian yang dialami golongan itu dianggarkan sebanyak 1.5 bilion rupiah (RM437, 594).

 

Seorang daripada mangsa yang dikenali sebagai Ayu Ratna berkata, dia terpengaruh untuk membeli minyak masak secara tempahan awal itu kerana harganya yang murah berbanding harga pasaran.

 

Katanya, beberapa jirannya pernah membeli minyak masak daripada suspek yang dikenali sebagai IR, sehubungan itu, dia percaya dengan pembelian tersebut.

 

Suspek merupakan seorang wanita muda yang dianggarkan berusia 25 hingga 26 tahun.

 

Malah, Ayu mendakwa dia mendapat bekalan minyaknya ketika membuat pembelian pertama.

 

“Mula-mula pembelian kami lancar, malah jiran saya juga sebelum ini sering dapat bekalan minyak masak yang dibeli daripada suspek. Maka, kami percaya dengan kata-katanya.

 

“Pada pembelian pertama, saya membeli minyak masak bersaiz dua liter sebanyak 50 karton dengan bayaran 10 juta rupiah (RM2, 916).

 

“Saya mendapat bekalan minyak masak itu pada Disember tahun lalu sebelum ditawarkan lagi oleh suspek supaya membeli stok lebih banyak.

 

“Kemudian, saya beli lagi minyak masak dengan suspek, kali ini melibatkan bayaran sebanyak 18 juta rupiah (RM5, 249) dan 100 karton minyak,” katanya kepada Tribunnews.

roberta-sorge-uOBApnN_K7w-unsplash (1)

Namun, hasrat Ayu tidak kesampaian apabila dia dan beberapa jirannya masih tidak mendapat bekalan minyak masak yang dibeli sebelum ini.

 

Jelas Ayu, bekalan minyak itu sepatutnya sampai seminggu lalu, namun sehingga kini tiada bayang, malah suspek juga sering memberi alasan setiap kali ditanya mana minyak masak mereka.

 

Suspek memaklumkan, stok minyak belum sampai dan gudang penyimpanan juga kosong, menyebabkan dia tidak dapat menghantar bekalan minyak masak yang dibeli.

 

Selepas itu, suspek turut berjanji untuk memulangkan semula semua duit bayaran yang diberikan golongan suri rumah itu, namun hanya janji tinggal janji.

 

“Kebanyakan mangsa suspek berasal dari Bandung dan sehingga kini, kami masih menunggu wang kami dipulangkan, walaupun hakikatnya duit itu sudah lesap.

 

“Kami juga sudah membuat laporan polis dan berharap suspek dapat ditangkap segera,” jelas Ayu.

Post a Comment