‘Solar Mama’ Tarihing Masanim Meninggal Dunia, Pemergian Ditangisi Seluruh Penduduk Sabah! – Manis Madu
‘Solar Mama’ Tarihing Masanim Meninggal Dunia, Pemergian Ditangisi Seluruh Penduduk Sabah!

‘Solar Mama’ Tarihing Masanim Meninggal Dunia, Pemergian Ditangisi Seluruh Penduduk Sabah!

Nama figura Tarihing Masanim mungkin tidak dikenali di Semenanjung Malaysia namun jika di Sabah terutamanya di kawasan pedalaman Kota Marudu, nama tersebut cukup terkenal dengan jasa-jasa dan sumbangan yang cukup besar. Jasanya terlampau besar dan akan terus kekal diingati buat selamanya!

 

Seluruh warga pribumi Sabah berduka cita apabila mendengar khabar berita Tarihing Masanim menghembuskan nafas yang terakhir sekitar 7 Ogos lalu. Beliau meninggal dunia pada usia 48 tahun di kampung halamannya, Kampung Sonsogon, Magandai, Kota Marudu di samping keluarga tercinta.

‘Solar Mama’ Tarihing Masanim Meninggal Dunia, Pemergian Ditangisi Seluruh Penduduk Sabah!

Untuk pengetahuan Maduners, Tarihing merupakan wanita pertama di Malaysia yang mendapat gelaran ‘Solar Mama’ gara-gara jasa dan pengorbanannya membangunkan Kampung Sonsogon Magandai hingga boleh dimanfaatkan ratusan buah rumah hingga kini.

 

Sekitar tahun 2014, beliau nekad mengambil keputusan berani untuk mengambil kursus teknologi solar di Kolej Barefoot di Rajasthan, India. Tahiring berazam untuk ‘menghidupkan’ kawasan perkampungannya yang amat sukar dimasuki oleh apa jua kenderaan ekoran jalan yang menghubungkan kampung terpencil itu amat teruk dan begitu mencabar.

 

Berbekalkan semangat dan keazaman yang tinggi untuk membantu penduduk kampung, setelah beliau kembali ke kampung dari latihan selama 6 bulan di India, wanita hebat ini bertekad untuk membantu memasang lampu solar untuk 100 buah rumah di kampung halamannya.

‘Solar Mama’ Tarihing Masanim Meninggal Dunia, Pemergian Ditangisi Seluruh Penduduk Sabah!

Tarihing juga dengan tangkas turut melatih sekumpulan wanita di kampung untuk mewarisi kemahiran teknikal yang sama iaitu menggunakan teknologi solar sebagai pengganti elektrik yang tidak berjaya disambungkan ke kampung berkenaan buat sekian lama.

 

Usahanya tidak terhenti di situ, Tarihing juga turut bertindak seperti wakil rakyat sebenar dalam misinya memberi cahaya buat warga kampungnya meskipun beliau tidak pernah belajar secara formal untuk membaca dan menulis, jauh sekali menjejakkan kaki ke sekolah dan universiti.

 

Sehingga hari ini, hasil usaha dan pengorbanan wanita tabah ini, telah memberi sedikit keselesaan buat 100 buah rumah di kampung terpencil berkenaan yang tidak lagi bergantung kepada lampu gasolin selepas hari menjelang gelap.

 

“Saya sanggup korbankan apa sahaja yang saya ada, saya tinggalkan anak-anak, keluarga dan juga kampung, bukan untuk apa. Tetapi untuk kampung ini juga, kalau bukan saya, siapa lagi yang mahu pergi,” katanya.

 

Berbekalkan semangat dan kecekalan yang ada, mendiang Tarihing tetap tekad untuk ke India bagi memastikan kampungnya tidak lagi perlu bergelap, dan anak-anak dapat belajar dengan selesa tanpa menggunakan lampu gasolin lagi.

‘Solar Mama’ Tarihing Masanim Meninggal Dunia, Pemergian Ditangisi Seluruh Penduduk Sabah!

“Saya sudah merasa keperitan untuk hidup di waktu malam dengan hanya lampu gasolin. Jadi inilah masanya untuk saya ubah. Saya cekalkan hati dan isikan sedikit dengan keberanian,” ujarnya mengenai bagaimana beliau mengambil keputusan untuk mengikuti kursus di India.

 

Di hari ini, seluruh Kampung Sonsogon Magandai sudah mempunyai panel solar, dan mereka tidak lagi perlu bergelap di waktu malam dan anak-anak selesa boleh belajar sehingga ke tengah malam jika mereka mahu.

 

Semua ini atas pengorbanan dan jasa besar peninggalan wirawati tidak didendang, Tarihing Masanim! Salam takziah buat seluruh keluarga mendiang atas pemergian beliau. Selamanya, jasa dan sumbangan bernilai besar beliau akan terus dikenang dan dimanfaatkan dari generasi ke generasi akan datang. Terima kasih dan selamat jalan Solar Mama!

Post a Comment