Sudah Tidak Dapat Pulang Beraya, 100 Individu Kecewa Tidak Terima Baju Raya! – Manis Madu
Sudah Tidak Dapat Pulang Beraya, 100 Individu Kecewa Tidak Terima Baju Raya

Sudah Tidak Dapat Pulang Beraya, 100 Individu Kecewa Tidak Terima Baju Raya!

Bila tiba hari raya, baju raya adalah antara perkara pertama utama yang akan diutamakan namun hajat lebih 100 individu untuk bergaya sakan dengan baju baharu pada Hari Raya Aidilfitri berkecai apabila mereka mendakwa pakaian yang dibeli daripada sebuah syarikat di Facebook masih belum diperoleh sehingga ke hari ini.

 

Lebih menyedihkan apabila mereka mendakwa mengalami kerugian antara RM39 hingga RM999 lapor portal Kosmo!

 

Menurut seorang pembeli, syarikat tersebut memaklumkan tidak dapat menyediakan tempahan baju kerana mengalami masalah pengeluaran yang didakwa berlaku di peringkat kilang.

 

Pihak syarikat menerusi pesanan di aplikasi WhatsApp kepada pembeli yang terlibat juga mengatakan, mereka hanya boleh mengembalikan wang pada hujung tahun ini atau mungkin hingga dua tiga tahun lagi.

 

Seorang mangsa dikenali sebagai Suraya, 31, berkata, dia tertarik dengan jualan promosi di Facebook yang menawarkan baju kurung pada harga serendah RM39.

 

“Saya terus beli lima pasang baju kurung termasuk untuk kakak ipar, malangnya sehingga hari ini baju itu tidak sampai.

 

“Saya ada menerima WhatsApp dari syarikat terbabit yang memohon maaf atas masalah berkenaan dan menyatakan mahu membuat pulangan wang, tetapi mungkin mengambil masa setahun atau tiga tahun lagi,” katanya yang akan amembuat laporan polis dalam masa terdekat ini.

 

Seorang lagi pembeli yang mahu dikenali sebagai Syikin, 36, berkata, dia bernasib baik kerana hanya menempah sehelai baju kurung.

 

“Saya terpaksa membeli baju kurung lain untuk sambutan hari raya ini,” katanya.

 

Dakwanya, pihak syarikat menerusi akaun Facebook kelmarin membuat permohonan maaf secara rasmi selain menyatakan akan mengembalikan wang kepada pembeli yang terlibat.

 

“Pihak syarikat juga meminta orang ramai hentikan melabelkan mereka sebagai scammer,” katanya.

 

Sumber gambar: Kosmo!

Post a Comment