Tajam! Tak Sangka Pisau Ada Banyak Jenis & Fungsi Berlainan
Agaknya dekat rumah anda ada berapa pisau? Kalau dekat rumah Syaz, ada dalam 3-4 pisau dan berlainan saiz dan bentuk tapi tak sangka rupanya berlainan saiz dan bentuk kerana mempunyai fungsi yang berbeza.
Walaupun 1 jenis pisau iaitu chef knife sebenarnya boleh digunakan untuk memotong pelbagai bahan tetapi sebaiknya kita guna pisau mengikut fungsinya sendiri untuk memaksimumkan penggunaan pisau tersebut! Baru berbaloi kita beli pisau mahal-mahal iyo dok?
Terkejut juga Syaz bila dapat tahu yang pisau mempunyai pelbagai jenis dan fungsi berbeza, hari ini Syaz nak kongsi dengan Maduners jenis pisau dan fungsi supaya lepas ini dah tak guna pisau yang salah untuk tujuan tertentu!
Ada pelbagai jenis pisau tetapi dalam senarai ini ada beberapa jenis pisau yang popular digunakan untuk kegunaan di dapur. Syaz akan senarai yang mana wajib ada di rumah dan yang mana bagus untuk disimpan di rumah walaupun jarang digunakan. Jom kita mula!
Jenis Pisau Wajib Ada Di Rumah!
1. Chef’s Knife (Pisau Cef)
Antara pisau yang memang WAJIB ada di rumah kerana chef knife adalah jenis pisau paling versatil dalam semua jenis pisau yang ada.
Kenapa Syaz cakap versatil? Memang banyak chef dah cakap pisau ini versatil kerana bukan sahaja sesuai untuk memotong sayur dan buah-buahan bahkan juga sesuai untuk memotong daging kecil, ayam dan lain-lain.
Tapi Syaz cadangkan jika dah guna pisau untuk potong bahan mentah seperti ayam dan daging, pastikan anda basuh dahulu pisau sebelum memotong bahan lain seperti buah-buahan dan sayuran untuk elakkan pencemaran bersilang.
Sesuai untuk:
- Memotong daging kepada saiz lebih kecil
- Memotong sayur
- Mencincang herba
- Memotong kacang
Tidak sesuai untuk:
- Membuang tulang daripada ayam
- Mengukir daging padat
- Menghiris roti
2. Pisau Santoku
Hampir serupa tapi tidak sama! Ramai yang agak keliru dengan jenis pisau Santoku dan pisau cef kerana rupanya hampir sama tetapi tidak kerana ada perbezaanya!
Pisau Santoku lebih pendek dan nipis sedikit, dan digunakan sebagai ganti untuk jenis pisau cef oleh sesetengah tukang masak, terutamanya mereka yang lebih suka bilah yang lebih kecil dan lebih ringan.
Bagi fungsinya sama sahaja dengan pisau cef. Bagi Maduners yang sukakan pisau yang lebih kecil dan ringan, Syaz cadangkan untuk pilih pisau santoku ini.
3. Utility Knife (Pisau Utiliti)
Pisau utiliti adalah lebih panjang dari pisau paring tetapi lebih pendek dari pisau cef.
Berukuran antara 4 dan 7 inci panjang, pisau utiliti biasanya digunakan ganti pisau cef untuk memotong makanan yang terlalu kecil.
Ia tidak bagus untuk mencincang atau menghiris barang yang besar, tetapi bilah yang sempit dan hujung yang kecil membolehkannya mengendalikan tugas seperti menghiris, menggunting dan mengiris yang lebih nipis dengan lebih baik daripada pisau cef.
Sesuai untuk:
- Menghiris nipis daging (daging hotpot)
- Menghiris bagel dan roti
- Memotong sandwic
- Memotong kecil sayur
- Menghiris herba
Tidak sesuai untuk:
- Membelah tulang daging
- Memotong daging yang tebal (stik ribeye)
- Menghiris sebuku roti yang tebal
- Tugas ketepatan seperti mengupas dan mencincang.
4. Kitchen Shear
Jangan terkejut jangan marah, tahu ini kelihatan lebih kepada gunting berbanding pisau tetapi gunting ini sangat penting dan wajib ada di rumah.
Untuk apa? Sudah tentu untuk menyiang ikan! Gunting ini akan memudahkan anda untuk menyiang ikan mentah di rumah.
Bukan siang ikan saja, gunting dapur boleh juga digunakan untuk membuka plastik dan menggunting sayur-sayuran seperti daun bawang, serai dan cili merah.
Jenis Pisau Bagus Untuk Disimpan Di Rumah Walaupun Jarang Guna
5. Pisau Roti
Pisau roti panjang dan mempunyai tepi bergerigi.
Apabila menggunakan pisau ini, gerakannya lebih seperti gergaji daripada pisau tukang masak. Selain menghiris roti, ia boleh digunakan untuk memotong kek.
Selain daripada roti, anda boleh gunakan pisau ini untuk potong tembikai besar yang mana jika guna pisau yang mempunyai bilah lurus akan sering tersangkut, menghiris tomato dan juga memecahkan bar coklat kepada kepingan yang lebih kecil.
6. Pisau Cleavers
Antara jenis pisau yang berat dan besar berbanding jenis pisau yang lain.
Pisau ini tebal dan mempunyai bilah yang sangat lebar. Reka bentuk ini membolehkan ia memotong tulang, daging, dan bahan keras dan tebal seperti memotong tulang ayam atau memotong buah labu yang mempunyai kulit yang keras.
Dengan bilah yang lebar dan berat, pisau pemotong juga sesuai untuk memukul dan menghancurkan daging, ayam dan ikan, serta menghancurkan bawang putih seperti yang selalu kita dapat lihat cef lakukan di kedai tomyam. Hancur bawang putih!
Itu dia Syaz kongsi beberapa jenis pisau wajib Maduners ada untuk memudahkan rutin di dapur Maduners, tapi pastinya Maduners hati-hati bila menggunakan pisau bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku! Selamat memasak!