Tempoh Sah Pasport Antarabangsa Dilanjutkan 2 Tahun Tanpa Sebarang Bayaran – Manis Madu

Tempoh Sah Pasport Antarabangsa Dilanjutkan 2 Tahun Tanpa Sebarang Bayaran

Berita baik bagi warga negara Malaysia yang berada di luar negara yang memiliki tarikh luput pasport pada 2021, Jabatan Imigresen Malaysia telah melanjutkan tempoh sah Pasport Antarabangsa Malaysia (MIP) selama dua tahun, lapor akhbar BERNAMA.

 

Memetik hantaran di laman Facebook, Bahagian Imigresen Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, langkah itu bertujuan memudahkan pembaharuan MIP di luar negara.

“Pandemik Covid-19 telah menyebabkan banyak negara mengenakan pelbagai syarat dan sekatan perjalanan yang menyebabkan ramai warga Malaysia menangguhkan perjalanan mereka.

 

“Penangguhan yang berpanjangan ini menyebabkan ramai yang terpaksa tinggal lebih lama di luar negara dan ada di antaranya berasa perlu memperbaharui pasport di luar negara kerana tarikh tamat telah hampir.

 

“Ini telah mengakibatkan peningkatan mendadak dalam bilangan pembaharuan MIP di pejabat luar negeri,” katanya.

 

Bahagian itu berkata, mereka yang terjejas boleh memilih untuk mendapatkan cap pelanjutan itu di ‘Halaman Pemerhatian’ atau di mukasurat 48 pasport mereka di suruhanjaya tinggi atau kedutaan terdekat.

 

“Tiada bayaran dikenakan untuk pelanjutan tempoh sah itu,” kata kenyataan itu, menambah perkhidmatan untuk pelanjutan itu telah pun dibuka.

 

Menurut Bahagian itu, mereka yang berminat boleh menyerahkan permohonan pelanjutan dengan mengisi borang yang boleh didapati di Suruhanjaya Tinggi dan mengembalikannya di kotak penyerahan yang disediakan.

 

“E-mel akan dihantar untuk tarikh janji temu,” katanya.

 

Pada masa yang sama, Bahagian itu berkata, mereka yang ingin memperbaharui MIP mengikut prosedur semasa boleh meneruskannya.

 

Bagaimanapun, pembaharuan MIP termasuk pembaharuan dalam talian akan mengambil masa lapan hingga 12 minggu berikutan peningkatan permohonan MIP dalam sistem.

 

Bahagian Imigresen di Suruhanjaya Tinggi di sini mengatakan ia hanya dapat memenuhi sejumlah permohonan manual.

 

Ini berikutan mesin dan tenaga manusia yang terhad serta mematuhi peraturan penjarakan sosial.

 

Bahagian itu mengatakan ia telah beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 7.00 malam setiap hari sejak Julai 2020.

Post a Comment