Terlalu Ramai Nak ‘Renew’ Passport, Waktu Operasi Pejabat Imigresen Dipanjangkan – Manis Madu
Terlalu Ramai Nak ‘Renew’ Passport, Waktu Operasi Pejabat Imigresen Dipanjangkan

Terlalu Ramai Nak ‘Renew’ Passport, Waktu Operasi Pejabat Imigresen Dipanjangkan

Waktu operasi di enam pejabat pengeluar pasport dan kaunter Jabatan Imigresen (JIM) akan dipanjangkan sehingga 10 malam mulai Rabu ini (11 Mei), manakala enam lagi dibuka sehingga 6 petang.

 

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, ini antara langkah untuk menambah baik Jabatan Imigresen khususnya menangani masalah permohonan dan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA), selain menambah jumlah kakitangan bagi mengendalikan proses PMA.

nicole-geri-gMJ3tFOLvnA-unsplash (1)

Menurut Malay Mail, enam premis dengan lanjutan waktu operasi sehingga 10 malam itu ialah pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, manakala di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu dan Perlis akan beroperasi sehingga 6 petang.

 

Semua pejabat pengeluaran pasport di Semenanjung Malaysia juga akan beroperasi pada hari Sabtu dari 8 pagi hingga 12.30 tengah hari mulai 14 Mei, katanya pada satu sidang media.

 

Beliau berkata, semua kaunter Imigresen di Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Semenanjung akan dibuka hingga jam 10 malam.

 

Menurut Khairul Dzaimee, terdapat peningkatan kira-kira 40 peratus dalam terbitan PMA, daripada 165,449 dalam tempoh 1 April hingga 6 Mei tahun ini berbanding 111,931 Mac lalu.

 

Beliau berkata pihaknya turut menyediakan kaunter khas bagi memudahkan permohonan pasport bagi bakal jemaah haji yang mendapat surat tawaran menunaikan haji.

 

“Mereka boleh datang ke mana-mana pejabat pengeluar pasport dengan membawa surat tawaran daripada TH (Tabung Haji),” katanya.

 

Mengenai Sistem Pelantikan Dalam Talian (STO), Khairul Dzaimee berkata ia akan dimansuhkan di semua pejabat pengeluar pasport di seluruh negara mulai Rabu ini.

 

Sebelum ini, dilaporkan Jabatan Imigresen akan memansuhkan STO bagi semua pejabat pengeluaran pasport di luar Lembah Klang mulai 9 Mei, manakala di Kuala Lumpur, Selangor, Johor Bahru, Negeri Sembilan dan Melaka mulai 16 Mei.

 

Sumber Gambar: Malaymail

Post a Comment