‘Tweet’ Kenyataan Palsu Covid-19, Wanita Didapati Bersalah Didenda RM2,000 – Manis Madu
Featured Image 1222

‘Tweet’ Kenyataan Palsu Covid-19, Wanita Didapati Bersalah Didenda RM2,000

Seorang wanita didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas dapati bersalah memuat naik satu kenyataan palsu mengenai Covid-19 di laman sosial Twitter miliknya, pada 3 Jun lalu.

 

Menurut laporan, hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Nur Anati Kamarudin, 28, yang membuat pengakuan bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

 

Mengikut pertuduhan, wanita berkenaan didapati telah menggunakan akaun aplikasi Twitter miliknya menyebarkan berita tidak benar berkaitan jangkitan Covid-19 di kilang tempatnya bekerja dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam.

 

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No2) 2021 yang boleh didenda maksimum RM100, 000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

 

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan telah dibuang kerja dan kini menganggur, selain perlu menanggung ibu bapanya.

 

Sementara itu, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Baidus Zaman Ahmad memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira isu penyebaran berita palsu adalah serius dan sebagai pengajaran kepada tertuduh serta orang awam.

 

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM2, 000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

 

Sumber Gambar: Kosmo

Post a Comment