Wanita Didakwa Terjun Bangunan Tingkat Tujuh Gara-Gara Masalah Mental
Masalah kesihatan mental atau tekanan perasaan bukan sesuatu perkara yang boleh diabaikan atau dipandang remeh.
Individu seperti ini seharusnya mendapat pengawasan dari pihak hospital dan sokongan dari ahli keluarga yang lain.
Semalam, seorang wanita yang dikatakan mengalami masalah tekanan perasaan ditemui maut dipercayai terjatuh dari tingkat tujuh di sebuah apartmen di Cheras.
Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaaafar berkata, Pusat Kawalan Polis Daerah Cheras menerima laporan berkenaan kejadian itu pada jam 4.34 petang daripada seorang lelaki yang memaklumkan ada kematian di kawasan terbabit.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati wanita yang berusia 56 tahun itu ditemukan mati dalam keadaan terbaring di lantai tingkat satu ruang penyidai pakaian dan tidak sedarkan diri.
Pegawai perubatan yang hadir ke tempat kejadian bagaimanapun mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Muhammad Idzam berkata, ketika soal siasat dijalankan bersama suami si mangsa, dia memaklumkan kepada pihak polis bahawa isterinya ada menerima rawatan sakit mental.
Rawatan tersebut diterima di sebuah klinik pakar yang terletak di kawasan Alam Damai, Cheras Kuala Lumpur.
Kejadian yang berlaku disyaki berpunca daripada tekanan perasaan yang dialami mangsa sejak Januari lalu.
Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut akan dibuat.