Wanita Gaza Tidak Terlepas Menjadi Mangsa Keganasan Rumah Tangga! – Manis Madu
Wanita Gaza Tidak Terlepas Menjadi Mangsa Keganasan Rumah Tangga!

Wanita Gaza Tidak Terlepas Menjadi Mangsa Keganasan Rumah Tangga!

Istabraq Baraka, seorang gadis berusia 17 tahun merupakan seorang mangsa keganasan domestik yang dikhabarkan hamil tidak lama selepas melangsungkan perkahwinan di Semenanjung Gaza.

 

Meskipun begitu, Istabraq tidak berpeluang menatap muka anak yang dikandungnya selepas maut ditangan suami sendiri, tiga bulan selepas majlis perkahwinan mereka.

 

“Anak saya meninggal dunia akibat dipukul teruk sehingga menyebabkan pendarahan pada otak dan paru-paru, selain patah tulang rusuk,” ujar ibu wanita malang berkenaan, Nazmiya.

 

Wanita berusia 53 tahun itu dalam satu temubual bersama suaminya, Suleiman menceritakan kembali mengenai kes pembunuhan anak perempuannya yang turut mengorbankan cucu dalam kandungan.

 

Temubual yang diadakan di sebuah taman di Abassan, berhampiran bandar Khan Yunis di selatan wilayah Palestin turut menyaksikan, airmata seorang ayah tumpah apabila mengenang peristiwa itu.

 

Menurut Suleiman, dia berasa kesal dengan prosiding undang-undang yang agak lambat sejak suami anaknya menyerah diri kepada polis sejurus selepas pembunuhan itu.

 

“Lelaki itu mengaku melakukan jenayah itu namun sudah lebih setahun tiada apa-apa tindakan yang diambil,” katanya.

 

Data dari Pusat Bantuan Guaman dan Kaunseling Wanita memaklumkan, kes pembunuhan golongan wanita semakin meningkat di Gaza.

 

Organisasi berkenaan turut melaporkan enam kes pembunuhan dan kematian yang mencurigakan mengenai keganasan rumah tangga pada tahun 2019 dan meningkat menjadi 19 kes pada tahun berikutnya.

 

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), keadaan bertambah buruk pada permulaan pandemik Covid-19 pada 2020.

 

Perintah berkurung yang dilaksanakan mengakibatkan mangsa ‘terkurung bersama pendera mereka’ menyaksikan peningkat kes penderaan domestik.

 

Sementara itu, seorang peguam dari Pusat Hak Asasi Manusia Palestin, Ayah Al Wakil berkata, wanita boleh mengalami keganasan akibat tingkah laku biasa suami mereka dalam masyarakat patriarki di Gaza.

 

“Sesetengah wanita tidak tahu hak mereka dan sebahagian lagi takut untuk ke mahkamah kerana kekurangan sokongan keluarga,” katanya.

 

Biro Pusat Statistik Palestin memaklumkan sebanyak 38 peratus wanita Gaza berdepan keganasan fizikal atau psikologi daripada suami mereka pada 2019.

Post a Comment