Wanita Hamil Anak Pertama & Kedua Serentak
Seorang wanita di Amerika Syarikat mendedahkan bahawa dia disahkan hamil anak kedua ketika masih mengandungkan anak pertama, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.
Menurut Odalis Martinez, dia disahkan hamil anak sulungnya pada November 2020 selepas mengalami keguguran beberapa bulan sebelumnya.
Namun begitu, ketika pemeriksaan kandungan dibuat, doktor mendapati terdapat dua kantung bayi berbeza yang disenyawakan pada yang minggu sama dengan perbezaan hanya lima hari.
Fenomena yang sangat jarang berlaku ini dikenali sebagai superfetasi di mana kehamilan kedua berlaku beberapa hari atau minggu selepas kehamilan pertama.
“Mereka seperti pasangan kembar tetapi sebenarnya bukan. Namun rupa sangat mirip antara satu sama lain.
“Kebiasaannya jika orang bertanya adakah Lilo dan Imelda kembar, saya hanya mengiakan kerana enggan mengelirukan mereka,” jelasnya.
Wanita itu bersalin pada 10 Ogos 2021 dengan Lilo dilahirkan dahulu diikuti dengan Imelda.