Wanita Kudung Catat Rekod Dunia Panjat Dinding Dengan Hanya Sebelah Tangan!
Setiap manusia yang dilahirkan dalam keadaan yang kurang sempurna tidak semestinya tidak mampu mencipta rekod-rekod hebat dalam kehidupan mereka.
Baru-baru ini, seorang wanita yang dilahirkan dengan keadaan tangan kanan kudung dilaporkan berjaya memecah Guinness World Records apabila memanjat dinding pada jarak menegak 374.85 meter (m) dengan hanya menggunakan sebelah tangan!
Wanita istimewa yang dikenali sebagai Anoushe Husain dari Luxembourg dan kini menetap di London telah memecahkan rekod tersebut di The Castle Climbing Centre.
Menceritakan detik bersejarah itu, bahagian paling sukar untuk memecah rekod itu adalah ketika dia perlu belajar untuk memberi fokus bagi menggunakan bahagian tangan bukan dominan, iaitu sebelah kiri.
View this post on Instagram
“Lengan kanan saya yang kecil ini sebenarnya merupakan bahagian dominan saya apabila memanjat dinding.
“Jadi, saya perlu belajar untuk memanjat menggunakan hanya tangan kiri, bagaimana untuk menyesuaikan semula keseimbangan, menghasilkan tenaga dan untuk menggunakan bahagian yang paling lemah (lengan kiri),” katanya.
Pengasas bersama kumpulan Paraclimbing London itu turut berkata, dia mula terlibat dalam sukan tersebut kira-kira 10 tahun lalu selepas sembuh daripada penyakit kanser dan untuk mengatasi kesakitan kronik akibat sindrom Ehlers-Danlos.
“Saya ialah manusia normal apabila memanjat dinding. Saya hanya seorang pendaki.
“Buat pertama kali dalam satu tempoh yang lama, saya berasa menjadi seorang manusia biasa berbanding dikenali sebagai orang kelainan upaya (OKU) yang bergelut dengan identiti sendiri,” ujarnya.
Anoushe menempa rekod bagi kategori memanjat dinding menggunakan satu lengan dalam masa sejam (wanita) dengan jarak menegak paling jauh iaitu 374.85 m.