Wanita Lahirkan Bayi Kembar Sembilan Di Maghribi! – Manis Madu
wanita lahirkan sembilan kembar

Wanita Lahirkan Bayi Kembar Sembilan Di Maghribi!

Seorang wanita Mali melahirkan bayi kembar sembilan di Maghribi, kata kerajaan negara itu walaupun pihak berkuasa Maghribi masih belum mengesahkannya.

 

Halima Cisse, 25, berasal dari sebuah wilayah miskin di barat Afrika, diterbangkan kerajaan Mali ke Maghribi bagi mendapatkan penjagaan kesihatan yang lebih baik selepas disahkan mengandung bayi kembar tujuh.

 

Jurucakap Kementerian Kesihatan Maghribi, Rachid Koudhari, berkata pihaknya tidak mendapat sebarang maklumat bahawa ada kelahiran sedemikian di mana-mana hospital di negara itu.

 

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Mali dalam satu kenyataan memaklumkan Cisse melahirkan lima bayi perempuan dan empat bayi lelaki menerusi pembedahan.

 

Menurut Menteri Kesihatan Mali, Fanta Siby, yang menerima maklumat mengenai perkembangan terbabit menerusi doktor Mali yang menemani wanita berkenaan, ibu dan semua bayinya berada dalam keadaan baik.

 

Siby berkata, ibu dan semua bayinya dijangka pulang dalam tempoh beberapa minggu lagi.

 

Menurut media tempatan, doktor melahirkan kebimbangan dengan tahap kesihatan Cisse termasuk bayi dalam kandungannya.

 

Kementerian Kesihatan Mali sebelum ini memberitahu, pemeriksaan menerusi ‘ultrasound’ yang dilakukan di Mali dan Maghribi, mendapati Cisse mengandung bayi kembar tujuh tetapi melahirkan bayi kembar Sembilan.

 

Siby turut mengucapkan tahniah kepada pasukan perubatan di Mali dan Maghribi yang profesional dalam menyambut kelahiran semua bayi berkenaan. – BHOnline

Post a Comment