Malu Nak Mengaku Telan Telefon Bimbit, Lelaki Tunggu 6 Bulan Sebelum Jumpa Doktor!
Seorang lelaki Mesir telah berjumpa doktor setelah mengalami sakit perut yang teruk tetapi apa yang mengejutkan apabila doktor itu mengetahui terdapat telefon bimbit dalam perut lelaki tersebut!
Menurut laporan, lelaki tersebut telah menelan telefon bimbit sekitar enam bulan lalu. Namun, dia memutuskan untuk tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian itu kerana berharap telefon itu mungkin keluar dari tubuhnya melalui proses badan semula jadi.
Menurut lelaki terbabit, dia tidak memberitahu sesiapa tentang perkara itu kerana terlalu malu dengan perbuatannya. Meskipun begitu, kesakitan yang ditanggung menjadi sangat teruk sehingga dia harus berjumpa doktor.
Situasi itu juga dikatakan telah menganggu sistem penghadamannya kerana telefon bimbit itu telah menghalang laluan makanan ke perut.
Ketika dia memberitahu tentang kesakitannya, para doktor melakukan x-ray dan mendapati terdapat telefon bimbit dalam perutnya.
Doktor kemudiannya melakukan pembedahan segera di Hospital Universiti Aswan dan mendakwa ini adalah kali pertama mereka mendapat kes seperti ini di mana seorang lelaki berjaya menelan keseluruhan telefon bimbit dan telah tersimpan di dalam perut selama 6 bulan lamanya!
Buat masa ini, telefon itu telah berjaya dikeluarkan melalui pembedahan namun masih tiada perkembangan terkini mengenai tahap kesihatan lelaki terbabit.
Sehingga kini juga, masih tiada jawapan mengapa lelaki Mesir itu bertindak menelan telefon bimbit.