Pemandu Kereta Api Saman Majikan RM80, 000 kerana RM2! – Manis Madu
Pemandu Kereta Api Saman Majikan RM80, 000 kerana RM2!

Pemandu Kereta Api Saman Majikan RM80, 000 kerana RM2!

Seorang pemandu kereta api Jepun menyaman majikannya selepas gajinya dipotong sebanyak 56 Yen (kira-kira RM2.04) kerana menyebabkan kelewatan seketika kepada sistem rel di negara itu yang terkenal kerana amat menepati masa.

 

BBC News melaporkan, syarikat kereta api JR West mendenda lelaki itu selepas masalah pada Jun 2020 yang menyebabkan kelewatan operasi selama satu minit.

 

Pekerja itu menuntut 2.2 juta Yen (kira-kira RM80, 000) sebagai ganti rugi untuk penderitaan mental akibat pengalaman pahit itu.

 

Laman berita Jepun, Soranews24 melaporkan, lelaki yang tidak disebutkan namanya itu dijadualkan memandu kereta api kosong ke stesen Okayama di selatan negara itu.

 

Tetapi dia tiba di platform yang salah, sementara menunggu untuk mengambil alih tugas daripada pemandu sebelumnya.

 

Selepas menyedari kesilapan, dia bergegas ke platform yang betul menyebabkan kelewatan selama dua minit.

 

Ia meliputi kelewatan pelepasan kereta api selama satu minit dan kelewatan selama satu minit dalam penyimpanan kereta api di depoh.

 

JR West pada mulanya memotong gaji pemandu itu sebanyak 85 yen (RM3.10), tetapi kemudian bersetuju untuk mengurangkannya kepada 56 Yen selepas pemandu membawa kes itu ke Pejabat Pemeriksaan Standard Buruh Okayama.

 

Bagaimanapun, pekerja itu enggan menerima pengurangan berkenaan dan mendakwa kelewatan berkenaan tidak menyebabkan gangguan sebenar kepada jadual atau penumpang kerana kereta api itu kosong, ketika kejadian.

 

Tetapi syarikat itu berkata, ia menggunakan prinsip ‘tiada kerja, tiada gaji’, seperti yang berlaku untuk pekerja lewat atau ketidakhadiran yang tidak dapat dijelaskan.

tingey-injury-law-firm-veNb0DDegzE-unsplash (1)

Pemandu itu membawa kesnya ke Mahkamah Daerah Okayama pada Mac, di mana dia kini menuntut ganti rugi.

 

Sistem kereta api Jepun terkenal dengan ketepatan waktu di mana pada 2017 sebuah syarikat kereta api mengeluarkan permohonan maaf selepas salah satu kereta apinya meninggalkan stesen 20 saat lebih awal.

 

Jika kereta api terlewat lebih daripada lima minit, penumpang diberikan sijil yang boleh mereka gunakan sebagai alasan untuk lewat.

Post a Comment