“Biar Dia Rasa Bekal Dia Sehebat Bekal Pelajar Lain”, Guru Puji Bekal Makan Pelajar
Sesi persekolahan secara bersemuka baru sahaja berjalan beberapa hari lalu. Pelbagai ragam serta kerenah anak-anak pelajar yang baru bersekolah semula setelah menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebelum ini.
Semalam, seorang guru dikenali sebagai Noorul Aaron ada memuat naik perkongsian tentang anak muridnya di laman Facebook.
Menurut guru tersebut, dia berkongsi situasi pelajarnya sedang makan bersama-sama di dalam kelas ketika waktu rehat. Ada yang memesan makanan di kantin, tidak kurang juga yang membawa bekal dari rumah. Meriah!
Tambah guru itu lagi, dalam ramai-ramai anak pelajarnya terdapat seorang pelajar perempuan yang turut membawa bekal namun pada mulanya dia makan dalam keadaan sembunyi-sembunyi.
“Awak bawa bekal apa tu?” dia bertanya kepada pelajar itu.
Pelajar itu menjawab dengan perlahan sehingga suaranya tidak didengari lalu rakan disebelahnya tolong jawabkan bagi pihak pelajar tersebut.
Ternyata, pelajar itu membawa cucur bawang sebagai bekal makanannya dan yang lebih mengagumkan, bekal itu dimasaknya sendiri. Siap ada sambal sardin!
“Uish, sedapnya nampak cucur bawang awak! Siap ada sambal sardin! Mak yang buat bekal?” tanya Noorul Aaron.
“Bukan, teacher. Saya yang buat. Saya buatkan bekal untuk adik dan mak saya sekali,” jawab pelajar itu.
Mengakui dia sememangnya boleh memasak, dia bangun seawal 5 pagi untuk menyiapkan bekal makanan untuk diri sendiri dan keluarganya.
Mengetahui perkara itu, Noorul Aaron terus-terusan memuji pelajarnya agar dia tidak malu dan merasa bekalnya sehebat bekal pelajar lain.
“Saje je dok puji dia. Biar dia rasa bekal dia sehebat bekal pelajar lain….yang tak perlu sembunyi-sembunyi waktu makan,” tulis guru tersebut dalam hantarannya.
Tambah guru itu, dia juga meminta pelajarnya yang lain membelikan sebotol air mineral dan hirisan kentang (potato wedges) agar pelajar itu tidak tercekik kerana dia tidak membawa air serta untuk menggembirakan hati pelajar itu.
Ketika dia meninggalkan kelas, guru tersebut melihat terdapat guru lain turut mengambil berat dengan bertanya kepada pelajar terbabit.
Jelas guru itu, begitulah amalan di sekolah tersebut, sentiasa mengambil berat dan saling menghulurkan bantuan. Terbaik!