Latihan Dalam Buku Matematik Tahun Satu Terlalu Susah? Guru Ini Cadangkan Dua Solusi
Selepas isu pelajar perempuan darjah 6 melemparkan kata-kata kurang sopan kononnya guru memberi kerja sekolah terlalu banyak. Perkara itu dikongsikan oleh seorang guru di laman Facebook dikenali sebagai Mohd Fadli Salleh.
Semalam, guru itu ada berkongsi pula tentang latihan buku Matematik Tahun 1 yang dikatakan susah untuk difahami oleh pelajar hatta ibu bapa mereka juga.
“Ni latihan dalam buku Matematik Tahun 1. Ramai parents pm aku bagaimana nak ajar anak soalan ni.
“Susah kan? Lagi susah nak fahamkan budak usia 7 tahun. Tak hairan, ramai ibu bapa beritahu cikgu-cikgu Matematik anak mereka skip soalan ini,” tulis guru berkenaan.
Guru itu berkata, sebenarnya jika para pelajar menguasai teknik tersebut, mereka dapat mengira dengan lebih pantas dan laju. Isunya, masa tidak mencukupi dan silibus yang mahu diajar terlalu banyak dan padat.
Tambah guru itu lagi, dia turut memberi cadangan supaya perkara ini boleh dibendung untuk kejayaan pendidikan para pelajar ini di masa akan datang.
“Dua pilihan yang ada. Nak kekalkan silibus, boleh. Kurangkan subjek. Nak kekalkan subjek, boleh. Rendahkan silibus,” tambahnya.
Di akhir perkongsian, guru itu ada meninggalkan pautan video tentang cara nak ajar anak-anak topik soalan tersebut.