Bayi Tesla Pertama Dunia, Wanita Lahirkan Anak Dalam Kereta Mod ‘Autopilot’
Seorang wanita di Amerika Syarikat melahirkan bayi perempuan di tempat duduk hadapan kereta elektrik pintarnya yang bergerak mengunakan mod ‘autopilot’, lapor laman berita Wion News.
Bayi tersebut kini digelar sebagai ‘bayi Tesla pertama’ di dunia.
Warga Philadelphia, Yiran Sherry, 33, bersama suaminya, Keating Sherry, 34, dan anak lelaki mereka yang berusia tiga tahun, Rafa berada di dalam kereta ketika proses kelahiran itu berlaku.
Mereka tidak dapat menunggu sehingga tiba di hospital setelah terperangkap dalam kesesakan lalu lintas apabila air ketuban Yiran pecah.
Keating meletakkan kenderaan itu pada mod ‘autopilot’ selepas menetapkan sistem navigasi ke hospital, yang terletak 20 minit dari lokasi mereka berada.
“Dia genggam tangan saya sehingga saya berasa sakit. Saya berkata, Yiran, fokus pada pernafasan kamu. Adrenalin saya memuncak,” jelas Keating.
Yiran berkata, keputusan untuk bersalin di dalam kereta adalah menyakitkan. Suaminya berselang-seli memandu dan menggunakan mod ‘autopilot’ ketika tergesa-gesa ke hospital.
Jururawat bertindak memotong tali pusat bayinya yang dinamakan Maeve di tempat duduk hadapan kereta setelah mereka tiba di hospital.
“Sebaik sahaja pakar pediatrik berkata, ‘Dia sihat, tahniah’, itu adalah nafas lega bagi saya,” kata Keating.