Terperangkap Dalam Kesesakan Lalu Lintas, Graduan USM Nekad Tumpang Motosikal Hadir Konvokesyen
Seorang graduan Universiti Sains Malaysia (USM) menarik nafas lega apabila sempat menghadiri upacara konvokesyen selepas terperangkap lebih dua jam dalam kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang.
Graduan yang bernama Kevin a/l Rayappan, 28, berkata, dia nekad untuk turun dari kenderaan yang dinaiki bersama ibu bapanya dan mencuba nasib dengan cara menahan mana-mana motosikal yang menghala masuk ke pulau untuk menumpang motosikal mereka.
View this post on Instagram
Kevin meluahkan rasa syukur apabila ada penunggang motosikal yang sudi menumpangkannya hingga ke USM dan dia berjaya meraikan kejayaan menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan.
Mengulas kejadian sebelum itu, Kevin berkata, dia bersama ibu bapanya keluar dari kediaman mereka di Seberang Jaya pada jam 6.30 pagi namun tidak menyangka kesesakan teruk gara-gara kemalangan maut yang berlaku di Jambatan Pulau Pinang.
“Saya memang sudah panik sebab jam sudah menunjukkan pukul 9.00 pagi, namun saya bersama kedua ibu bapa masih tersekat dalam kesesakan luar biasa di Jambatan Pulau Pinang.
“Saya nekad turun bersama jubah konvokesyen dan cuba nasib tahan penunggang motosikal yang sudi tumpangkan saya untuk ke Upacara Konvokesyen USM,” katanya.
Kevin berkata, dia amat terharu kerana masih ada insan yang baik hati sudi membantu.
“Saya tidak sempat berbual panjang dengan insan mulia tersebut yang sanggup tumpangkan saya kerana dalam keadaan tergesa-gesa namun saya ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada beliau,” kata Kevin.
Sebelum itu, tular di laman sosial apabila Kevin dilihat sedang memegang jubah konvokesyen di atas jambatan sambil mencuba nasib menahan penunggang-penunggang motosikal yang sedang menghala masuk ke pulau.
Ujar Kevin, tanpa bantuan insan tersebut, dia tidak mungkin dapat sempat merasa naik ke pentas untuk menerima skrol ijazah hari ini.
Dalam masa yang sama, dia turut gembira apabila kedua-dua ibu bapanya, Rayappan, 62, dan Mary, 48, yang meneruskan pemanduan juga sempat tiba di USM untuk menyaksikannya menerima ijazah.
Sumber: Penangkini