100 Pasangan Dinikahkan Jurunikah Tidak Bertauliah, JAIS Minta Semua Terlibat Tampil Bantu Siasatan
Sebelum ini viral tentang kisah 100 pasangan dinikahkan oleh jurunikah yang tidak bertauliah sejak sebulan lepas sehingga tertangkapnya seorang lelaki yang merupakan bekas kakitangan awam di Bahagian Pengurusan Penguatkuasaan Jais pada Khamis lalu.
Madu difahamkan siasatan sedang dijalankan dan jika pernikahan mereka ini didapati tidak sah, adalah perlu melakukan proses selanjutnya sama ada bernikah semula atau perlu mengambil tindakan sewajarnya yang akan dibincangkan nanti.
“Kalau mahkamah syariah mendapati pernikahan itu sah, pasangan terbabit perlu mendaftarkan perkahwinan dan membayar denda, jika tidak sah, perkahwinan itu terbatal”. – Jelas Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Menurut Datuk Shahzihan lagi, 100 pasangan yang terlibat diminta untuk tidak takut tampil ke Jais bagi memudahkan proses siasatan. Siasatan yang dijalankan terhadap kesemua pasangan itu adalah termasuk mengambil keterangan mereka yang terlibat bagi menentukan sama ada pernikahan yang telah dijalankan tu sah dari segi syarak atau pun sebaliknya.
Sumber Gambar: www.sinarharian.com.my
Menurut Datuk Ahmad Marzuk Shaary selaku Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), ini akan memudahkan proses berkaitan dan untuk mengesahkan status perkahwinan pasangan yang terlibat dalam kes ini.
“Saya menyeru kepada semua terlibat, begitu juga dengan mereka yang telah sedar bahawa perkahwinan menggunakan sindiket supaya tampil kepada JAIS”.
“Bagi mempermudahkan segala urusan berkait dengan perkahwinan, mereka tidak perlu takut”. – ujar Datuk Ahmad Marzuk.
“Perkahwinan yang menggunakan jurunikah tidak tauliah dan individu yang turut menjadi jurunikah tidak bertauliah ini adalah satu kesalahan”, tegasnya.
Datuk Ahmad Marzuk juga tidak menolak kemungkinan isu yang berjaya dibongkar ini tidak hanya berlaku di Selangor ini turut berlaku di negeri-negeri lain juga.